DUNIA

Niaga Hadapan MSM Teruskan Kenaikan Susulan Pertumbuhan Output Yang Lemah

10/02/2025 09:47 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan kenaikan untuk empat hari berturut-turut didorong oleh pertumbuhan output yang lebih lemah daripada jangkaan, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran ditutup lebih tinggi hari ini apabila laporan daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan penurunan paras stok bulanannya di Malaysia.

“Kami menjangkakan harga MSM akan meraih sokongan pada paras RM4,500 satu tan dan rintangan pada paras RM4,700 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Menurut MPOB, pengeluaran minyak sawit Malaysia bagi Januari 2025 merosot sebanyak 16.80 peratus, atau 249,864 tan, kepada 1.24 juta tan daripada 1.49 juta tan pada bulan sebelumnya.

Sementara itu, agensi berkenaan berkata eksport minyak sawit Malaysia pada Januari 2025 susut 12.94 peratus kepada 1.17 juta tan daripada 1.34 juta tan pada Disember 2024.

Pada penutup dagangan, kontrak Februari 2025 melonjak RM47 kepada RM4,828 satu tan, Mac 2025 naik RM88 kepada RM4,689 satu tan, dan April 2025 bertambah RM89 kepada RM4,593 satu tan.

Kontrak Mei 2025 menokok RM96 kepada RM4,505 satu tan, Jun 2025 meningkat RM82 kepada RM4,408 satu tan, dan Julai 2025 menambah RM70 kepada RM4,331 satu tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 106,188 lot daripada 100,050 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 226,292 kontrak daripada 227,401 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan meningkat RM30 kepada RM4,850 satu tan.

Sementara itu, Bursa Malaysia Bhd mengumumkan Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada Selasa, 11 Feb, 2025, bersempena cuti umum Thaipusam.

Bursa itu berkata ia akan beroperasi semula pada Rabu, 12 Feb, 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan