KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Golongan muda di ASEAN mampu menyumbang pelbagai idea bagi mengurangkan kesan perubahan iklim berikutan kesedaran mereka yang tinggi dalam hal itu, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nik Nazmi berkata bagaimanapun, golongan itu memerlukan platform untuk melontarkan pandangan mereka dengan sokongan semua pihak terutama kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Dalam soal perubahan iklim, ramai dalam kalangan anak muda sangat sedar dan tahu kerana masalah cuaca kering, pencemaran udara, jerebu dan banjir menjadi semakin serius. Mereka juga sangat maklum tentang impak terhadap alam sekitar.
“… tetapi tentulah mereka ingin tahu apa yang boleh mereka lakukan sebagai anak muda dan apa dukungan pihak kerajaan, swasta, dan NGO kerana akhirnya perubahan sistemik ini hanya boleh dilakukan di peringkat kerajaan atau korporat.
“Perubahan individu penting, tetapi tanpa disambut pihak kerajaan dan sektor swasta, ia tidak akan dapat bagi kesan yang besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Ekonomi Belia ASEAN (AYEF) 2025 di sini hari ini.
Mengenai program hari ini, Nik Nazmi berkata AYEF 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menghimpunkan pimpinan muda dari negara ASEAN, Jepun dan Timor-Leste dengan bertemakan Climate Change and Building a Climate-Resilience Economy.
Beliau berkata pada masa sama, peserta juga akan bertemu dengan pembuat dasar, ketua-ketua industri serta perwakilan anak-anak muda dengan mengambil kira semangat daripada tema Kepengerusian ASEAN 2025 iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
“… kita merasakan sangat penting untuk (menyediakan) ruang atau platform (kepada) anak muda ini kerana kadang-kadang mungkin ramai rakyat biasa khususnya anak muda yang merasakan atau tidak menyedari kepentingan ASEAN.
“ASEAN ketika penubuhannya dahulu sangat relevan kerana ada perang dingin, masalah kemiskinan dan sebagainya. Jadi orang menyedari kepentingan ASEAN (ketika itu).
“Hari ini kita tengok dengan ketegangan geopolitik, keperluan pembangunan ekonomi yang sekata dan juga masalah survival planet kita, maka peranan ASEAN itu sebenarnya sangat penting dan perlu kita garap semula,” katanya.
Sementara itu, menurut kenyataan, AYEF 2025 menghimpunkan 32 delegasi dalam kalangan negara ASEAN, Jepun dan Timor-Leste dengan tumpuan kepada pemimpin muda berusia 18 hingga 35 tahun yang memiliki latar belakang dalam tindakan iklim, dasar alam sekitar, kelestarian atau pembangunan ekonomi.
Delegasi berkenaan akan terlibat dalam perbincangan panel peringkat tinggi, bengkel dasar, serta lawatan ke projek infrastruktur lestari di Malaysia.
Matlamat utama termasuk memperkukuh kerjasama ASEAN-Jepun dalam ketahanan iklim, memperkasakan golongan muda untuk mempengaruhi dasar iklim negara dan serantau, memajukan infrastruktur lestari dan teknologi hijau, serta mempercepat strategi penyesuaian iklim melalui model kewangan inovatif dan perkongsian awam-swasta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial