SANDAKAN, 15 Feb (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan menambah van dijadikan perkhidmatan guaman bergerak di negara ini secara berperingkat bagi membantu rakyat golongan B40 khususnya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak menyelesaikan masalah melibatkan hal perundangan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata ketika ini terdapat lima van bergerak tersedia termasuk tiga yang diperoleh sewaktu kepimpinan Kerajaan MADANI.
“Hal ini seperti yang saya kata usaha murni untuk menolong masyarakat B40 yang memerlukan bantuan guaman tetapi berada di pedalaman dan sukar untuk mengakses khidmat nasihat guaman.
“Hasrat kerajaan untuk pergi kalau boleh ke setiap kampung di negara ini supaya orang-orang miskin yang memerlukan bantuan guaman dapat dibantu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian program Justice on Wheels (JoW) 2025 di sini hari ini.
Selain Sandakan, program JoW sebelum itu diadakan di Paitan, Tongod, Pitas, Papar serta Sipitang, dan kebanyakan masalah yang dibangkitkan adalah mengenai isu pendaftaran melibatkan kewarganegaraan.
"Program ini tidak dapat mengendalikan hal-hal kewarganegaraan secara langsung kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Negara. Bagaimanapun, profesional undang-undang yang terlibat dalam JoW menyediakan panduan penting untuk mengemudi proses undang-undang termasuk langkah-langkah untuk menyelesaikan isu dokumentasi secara sah," katanya lagi.
JoW dilaksanakan pada tahun lepas di Sabah dan Sarawak dengan tujuan bukan hanya melibatkan perkhidmatan kaunter bergerak yang memberi bantuan kepada masyarakat mengenai isu perundangan tetapi turut menyebarluaskan maklumat berkaitan undang-undang negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial