AM

Tiada Keperluan Gubal Akta Anti Diskriminasi Kaum, Undang-undang Sedia Ada memadai - Aaron

18/02/2025 12:19 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berpandangan tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan undang-undang baharu seperti Akta Anti Diskriminasi Kaum bagi membendung isu perkauman buat masa ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata ini kerana undang-undang sedia ada mencukupi untuk memastikan hubungan antara kaum terpelihara dan memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

“Dalam hal ini, penguatkuasaan yang telus dan adil, tanpa mengira latar belakang etnik, agama dan kelas sosial adalah amat penting untuk memastikan keharmonian terus terpelihara.

“Namun demikian, sekiranya keadaan mendesak dan kerajaan berpandangan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula bagi tujuan mengekang sesetengah ucapan atau kenyataan (hate speech) atau perbuatan provokasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat dengan sentimen perkauman, maka kementerian akan menyokong penuh hasrat berkenaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) sama ada kerajaan berhasrat menggubal Akta Anti Diskriminasi Kaum untuk membendung peristiwa perkauman yang kian melarat dalam kalangan pemimpin parti politik dan individu yang bersikap ekstremis dan perkauman pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Aaron berkata terdapat kira-kira 10 peruntukan undang-undang sedia ada untuk membendung isu perkauman termasuk Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948. 

Beliau berkata sesiapa dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat atau didakwa mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.

Mengulas mengenai insiden melibatkan seorang penjaja di Sepang yang enggan menjual jagung kepada kaum India dengan meletakkan papan tanda berunsur perkauman, Aaron berkata KPN telah menggerakkan anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai orang tengah dalam menyelesaikan masalah itu.

Beliau berkata sesi permohonan maaf telah diadakan di sebuah restoran di Sepang yang turut dihadiri oleh wakil masyarakat India, pempengaruh, wakil penduduk, wakil dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta pihak polis.

“Peranan KRT dalam menyelesaikan polemik itu turut memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap KRT sebagai ejen perpaduan dan penyelesai masalah, selain menekankan pentingnya kerjasama antara pemimpin komuniti serta pihak berkuasa untuk memastikan suasana harmoni dan aman terpelihara.

“Saya ingin menegaskan bahawa kita semua harus sentiasa berusaha memastikan bahawa setiap perkataan dan tindakan kita tidak menimbulkan perasaan tidak selesa, ketegangan atau salah faham dalam kalangan penganut agama, budaya dan kaum yang berbeza,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai tindakan undang-undang terhadap individu itu, yang terang-terangan melakukan jenayah perkauman supaya perkara berkenaan tidak berulang, Aaron berkata KPN menggunakan pendekatan reformasi untuk menyelesaikan perkara itu.

“Sebab itu di bawah KPN kita ada KRT, malah kita juga ada 571 mediator komuniti dan kes ini belum sampai ke mediator tetapi di peringkat KRT sudah diselesaikan dengan kerjasama pihak polis dan akhirnya proses faham memahami serta permohonan maaf diadakan dan kita anggap kes ini selesai,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan