Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 19 Feb (Bernama) -- Mahkamah Rayuan Singapura pada Rabu membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap banduan Malaysia yang dijatuhi hukuman mati, Pannir Selvam Pranthaman, hanya beberapa jam sebelum beliau dijadualkan menjalani hukuman pada Khamis (20 Feb).
Hakim Bahagian Rayuan Woo Bih Li dalam penghakimannya berkata penangguhan itu diberikan sementara menunggu keputusan permohonan Pannir Selvam di bawah Akta Permohonan Pasca Rayuan dalam Kes Hukuman Mati (PACC).
Woo membenarkan Pannir Selvam untuk membuat satu permohonan PACC di bawah Seksyen 60 (G) Akta Kehakiman Mahkamah Tertinggi 1969 (SCAJ) tanpa perlu menetapkan untuk pendengaran.
PACC merupakan permohonan yang difailkan oleh banduan yang menunggu pelaksanaan hukuman mati (PACP) selepas semua saluran perundangan telah digunakan sepenuhnya. Pannir Selvam mewakili dirinya sendiri dalam penghujahan kes itu.
Woo berkata beliau membenarkan Pannir Selvam memfailkan permohonan PACC atas alasan bahawa terdapat aduan belum selesai terhadap bekas peguamnya, Ong Ying Ping kepada Persatuan Undang-Undang Singapura, selain satu lagi kes berkenaan cabaran perlembagaan berkaitan undang-undang dadah Singapura yang masih belum diputuskan.
Dalam membuat keputusan itu, Woo mengambil kira afidavit dan penghujahan bertulis Pannir Selvam pada 17 Feb serta penghujahan bertulis tambahan pada 18 Feb.
Beliau turut mempertimbangkan penghujahan bertulis Peguam Negara (AG) serta afidavit Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Dasar di Kementerian Dalam Negeri, Sanjay Nanwani, yang dikemukakan pada 18 Feb.
Pannir Selvam disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2 Mei 2017 atas kesalahan membawa masuk 51.84 gram diamorfin ke Singapura di bawah Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah 1973 (MDA).
Beliau tidak diberikan Sijil Bantuan Substantif (CSA) oleh Pendakwa Raya dan dijatuhkan hukuman mati mandatori.
Sejak itu, beliau telah menggunakan semua saluran perundangan yang tersedia di bawah undang-undang Singapura.
Akta PACC Singapura, yang berkuat kuasa pada 28 Jun 2024, membolehkan PACP mengemukakan permohonan pasca rayuan yang hanya boleh didengar oleh Mahkamah Rayuan.
PACP mesti terlebih dahulu mendapatkan kebenaran mahkamah untuk mengemukakan Permohonan PACC.
Jika kebenaran diberikan, permohonan itu mesti dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan dalam tempoh tiga hari dari tarikh kelulusan.
Mahkamah Rayuan kemudiannya akan membuat keputusan berhubung permohonan PACC itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial