KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Malaysia menerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mengalu-alukan kerjasama dan perkongsian dengan koperasi rantau Asia Pasifik bagi memastikan sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025 memberi impak signifikan kepada pertumbuhan dan kemajuan koperasi global, seiring tema ‘Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat’.
ANGKASA menerusi kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu dizahirkan Presiden Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah semasa menyampaikan pembentangan mengenai perancangan dan aktiviti gerakan koperasi negara pada majlis pelancaran sambutan IYC2025 peringkat rantau Asia Pasifik dan Jepun di Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tokyo semalam.
Abdul Fattah berkata beliau turut memberi penekanan kepada kepentingan membina rangkaian kerjasama koperasi serantau khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi yang semakin dinamik.
Dalam konteks itu, Abdul Fattah yang juga Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Rantau Asia dan Pasifik (ICA-AP) menggesa gerakan koperasi untuk memperkukuh perdagangan antara koperasi dengan koperasi (C-2-C) menerusi inisiatif yang menyediakan ekosistem kondusif bagi aktiviti perdagangan dan pelaburan.
Pada masa sama, beliau membentangkan inisiatif ANGKASA yang akan memanfaatkan Kepengerusian ASEAN 2025 dengan menjadikan koperasi sebagai agenda utama pada sidang kemuncak ASEAN.
“Sokongan kerajaan Malaysia terhadap ANGKASA selaku badan apeks gerakan koperasi dengan memperuntukkan RM1 juta bagi menyokong program koperasi ASEAN akan digerakkan menerusi penganjuran Dialog Kerjasama ASEAN (ACD) pada Mei 2025.
“Program ini dijangka menjadi platform utama dalam memupuk kerjasama antara koperasi yang bakal menghimpunkan kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada wakil kementerian, agensi, koperasi dan badan koperasi apeks dari negara-negara ASEAN,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Abdul Fattah juga menekankan komitmen Malaysia terhadap IYC2025 dengan menggariskan pelbagai inisiatif nasional yang telah dirangka, antaranya penubuhan Jawatankuasa Pemandu IYC2025 yang dipengerusikan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Institut Koperasi Malaysia.
Sementara itu, Presiden ICA-AP Dr Chandrapal Singh Yadav dalam ucapannya menegaskan kepentingan kerjasama erat antara koperasi, kerajaan dan kementerian berkaitan bagi memastikan kejayaan IYC2025.
Beliau menyeru semua negara anggota untuk membentuk mekanisme koordinasi nasional yang melibatkan kerajaan dalam memperkukuh dasar sokongan terhadap koperasi, termasuk dalam aspek pembiayaan, inovasi dan perundangan.
IYC2025 diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengiktiraf peranan koperasi dalam pembangunan sosial dan ekonomi, dengan tujuan utama meningkatkan kesedaran global mengenai peranan koperasi kepada pembangunan mampan, pengurangan kemiskinan, penggalakan kesaksamaan sosial dan pembangunan komuniti.
Menurut kenyataan itu, Abdul Fattah mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja rasmi ke Jepun bermula 18 hingga 22 Feb, dengan disertai Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA Datuk Kamarudin Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA Datuk Abdullah Jusoh.
Delegasi Malaysia turut dijadual mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan dengan badan apeks gerakan koperasi Jepun, Japan Co-operative Alliance (JCA) dan Japan Workers’ Cooperative Union (JWCU) bagi membincangkan isu berkepentingan seperti potensi mengembangkan jaringan serta rangkaian pasaran produk dan perkhidmatan.
Selain itu, ANGKASA memaklumkan delegasi mengadakan perbincangan dengan Pusat Islam Jepun (ICJ) berkenaan potensi penubuhan koperasi kariah masjid oleh masyarakat Muslim di Jepun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial