KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Sebanyak 650 tan barangan hasil sumbangan pelbagai pihak bernilai RM35 juta berjaya diagihkan kepada mangsa banjir di seluruh negara sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata antara barangan berkenaan adalah kit keperluan diri, kit kebersihan, bantuan kewangan dan bantuan persekolahan.
“Jaringan kerjasama erat ini melibatkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Pejabat Residen, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN), Ihsan Johor, Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA), Yayasan Foodbank Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.
“Semua bantuan yang diterima ini dihantar secara berperingkat melalui pelbagai kaedah termasuklah penghantaran udara bagi keperluan ke Sabah dan Sarawak. Ini bagi memastikan barangan keperluan sampai kepada mangsa dengan segera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata penghantaran barangan sumbangan daripada NGO yang terkini telah dibuat pada 15 Feb ke kawasan terjejas banjir melibatkan lapan tan makanan siap masak dalam pek dan 5,000 kit keperluan keluarga seberat 47 tan.
Khairul Shahril berkata selain memberikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 kepada Ketua Isi Rumah yang berdaftar di pusat pemindahan sementara, NADMA turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Rakan NADMA, iaitu NGO yang berdaftar dengan agensi itu.
“Sebagai rakan strategik, Rakan NADMA banyak terlibat dalam pengurusan dan penyelarasan sumbangan bantuan. Bagi melancarkan pergerakan penyaluran bantuan, NADMA membantu koordinasi di antara NGO Rakan NADMA dengan wakil JPBD/JPBN.
“NADMA sangat menghargai kerjasama erat antara kerajaan negeri, NGO, badan korporat, dan sukarelawan belia dalam menyampaikan bantuan pasca bencana kali ini. Koordinasi dan komunikasi yang berkesan telah memudahkan penyaluran bantuan kepada mangsa bencana dengan segera serta teratur,” katanya.
Beliau turut menasihati orang awam supaya sentiasa peka terhadap amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku bencana bagi mengelakkan kejadian tidak diingini kerana musim MTL masih belum berakhir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial