Oleh Nazira Hasanah Nasaruddin
KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Perlaksanaan insiatif Pembaharuan Semula Bandar oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bukan sahaja memastikan penduduk tidak terkesan tetapi juga membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih kondusif dan sejahtera selepas dipindahkan ke bangunan kediaman baharu.
Pengerusi Perbadanan Pengurusan 1 Razak Mansion Anthony Tan Gim Guan yang juga penduduk di pangsapuri berkenaan berkata dia bersama 658 penduduk dari Perumahan Awam Razak Mansion, Salak Selatan (rumah lama) bersetuju berpindah selepas mendapat jaminan baik daripada kerajaan.
“Pada 10 tahun lepas kami dilawati oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) untuk membuat perbincangan mengenai perpindahan berkenaan.
“Kami semua bersetuju berpindah kerana kami diberi pampasan upgradsed size unit double dari 400 kepada 800 kaki persegi, kedua kerana tempat pembangunan semula hanya bersebelahan flat lama sahaja serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan bahawa bangunan baharu siap dibina barulah kami berpindah memandangkan tempat lama sudah usang dan buruk,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Anthony berharap Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang bakal digubal kelak dapat mengutamakan kebajikan komuniti B40 selain memberi keutamaan terhadap keselesaan penduduk, terutamanya warga emas.
“Saya harap kebanyakan tempat yang telah dikenal pasti untuk dibangunkan semula perlu memberi fokus terhadap warga emas seperti penyediaan kemudahan dan fasiliti untuk golongan itu, termasuk memastikan ia berdekatan dengan klinik kesihatan.
“Selain itu, kebanyakan golongan B40 tidak mempunyai ilmu untuk menjaga bangunan jadi, kerajaan perlu beri kesedaran untuk mereka bersedia menjaga rumah sendiri.
“Kerajaan juga perlu memikirkan bayaran penyelenggaraan yang makin meningkat. Sebelum ini (di rumah lama) kami hanya perlu membayar antara RM30 hingga RM40, tetapi kini mencecah RM154.
“Saya risau jika perkara ini menjejaskan golongan B40 dan warga emas yang tidak mempunyai pendapatan kerana sudah tidak bekerja,” katanya.
Sementara itu, penduduk Residensi Kerinchi, Bangsar Siti Rohani Idris berkata dia amat gembira dengan usaha kerajaan membangunkan semula rumah flat empat tingkat di kawasan itu (rumah lama) meskipun ketika itu penduduk menyuarakan kebimbangan mereka tentang rancangan pembangunan berkenaan.
“Sebelum ini, saya dan rakan-rakan amat bimbang sama ada rumah ini menjadi atau tidak. Kebimbangan saya amat berbaloi apabila rumah ini dilengkapi dengan kemudahan yang serba lengkap serta lif yang baik buat penduduk.
“Saya harap penduduk perumahan yang bakal dipindahkan di bawah projek Pembaharuan Semula Bandar ini untuk percaya kepada kerajaan. Ini demi kesejahteraan dan kelangsungan masa depan kita,” katanya.
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) tidak akan meminggirkan, mengancam atau merampas hak golongan tertentu berdasarkan kaum atau pendapatan, khususnya golongan B40.
Penetapan kriteria kawasan yang terlibat adalah berdasarkan kepada keadaan fizikal, infrastruktur, utiliti, sosial dan pengurusan hartanah komuniti yang memberi kesan kepada kemerosotan kualiti hidup, ekonomi dan persekitaran yang tidak lagi kondusif atau mendatangkan bahaya.
Beliau berkata pelaksanaan PSB juga perlu mendapatkan persetujuan pemilik hartanah melalui perundingan dan bukan pengambilan secara paksa selain memastikan pemaju tidak menjalankan rundingan dengan pemilik hartanah tanpa campur tangan kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial