ARAU, 22 Feb (Bernama) -- Pertandingan menangkap itik dalam kolam sempena penganjuran Pesta Angin Timur Perlis 2025 (PAT 2025) berjaya menghidupkan tradisi sukan rakyat itu dan lebih istimewa kali ini menyaksikan penyertaan peserta wanita.
Pengarah Jabatan Sumber Manusia dan Korporat, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) selaku urusetia pertandingan Rosmariani Ab Rashid berkata pertandingan yang memasuki tahun ketiga ketika PAT itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
"Sebelum ini hanya lelaki dewasa dan kanak-kanak yang menyertai pertandingan tersebut tetapi kali ini kita berikan kelainan dengan membuka penyertaan kepada wanita," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi pertandingan di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang di sini hari ini.
Pertandingan yang berlangsung pada petang tadi dirasmikan bersama olah Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Perlis Abu Bakar Hamzah.
Rosmariani berkata pertandingan itu menyaksikan 65 peserta lelaki bersaing menangkap 50 itik manakala 20 peserta wanita merebut 10 ekor itik yang dilepaskan dalam kolam.
Beliau berkata sambutan yang menggalakkan daripada peserta menunjukkan minat masyarakat terhadap permainan tradisional itu masih utuh dan diharap dapat diteruskan pada penganjuran PAT akan datang bagi memelihara warisan sukan rakyat.
PAT 2025 yang berlangsung tiga hari bermula semalam, dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama kerajaan negeri yang dikelolakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perlis dan Majlis Kebudayaan Negeri Perlis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial