AM

PM Anwar Arah KPKM Segerakan Pemulihan Bekalan BPT Di Pasaran

03/03/2025 12:00 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menyegerakan usaha pemulihan bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri juga mengarahkan KPKM supaya memaklumkan perkembangan berkenaan pemulihan bekalan BPT secara berkala kepada rakyat.

“Insya-Allah pemulihan bekalan ini sedang dilaksanakan secara berfasa,” kata Tunku Nashrul menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Pejabat Perdana Menteri Malaysia (PMO Malaysia) hari ini.

Media pada Sabtu lepas melaporkan KPKM memaklumkan Pasukan Petugas Khas Bersepadu Operasi BPT mendapati punca kekurangan bekalan BPT adalah disebabkan masalah struktur harga belian padi, kos pengeluaran beras dan harga siling BPT.

Selain itu kementerian memaklumkan ia juga disebabkan oleh tiada peruntukan khusus mengenai larangan percampuran beras dalam Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan