KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kementerian Ekonomi sedang memuktamadkan penyediaan dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Julai depan.
Timbalan Menterinya Datuk Hanifah Hajar Taib berkata RMK-13 yang akan menjadi pelan pembangunan sosioekonomi negara bagi tempoh 2026 hingga 2030 dirangka berdasarkan matlamat Ekonomi MADANI.
"RMK-13 penting bagi memastikan unjuran peralihan Malaysia kepada ekonomi berpendapatan tinggi berjaya dicapai dalam tempoh rancangan ini," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.
Hanifah berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu mengukuhkan kedudukan fiskal negara melalui peningkatan hasil dan rasionalisasi perbelanjaan, mengenal pasti sumber pertumbuhan baharu dan melaksanakan reformasi struktur ekonomi.
"Penekanan akan diberi untuk mereformasikan struktur ekonomi ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi supaya aspirasi Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dapat tercapai," katanya.
Sementara itu Hanifah berkata bagi mengatasi kesan konflik perdagangan global antara Amerika Syarikat dan China terhadap ekonomi negara, kerajaan akan memberi tumpuan kepada beberapa strategi utama.
Ini, katanya, termasuklah meningkatkan perdagangan strategik dengan rakan dagang sedia ada Malaysia dan rakan dagang baharu.
"Kedua, menjadikan Malaysia sebagai lokasi pelaburan alternatif kepada syarikat multinasional bagi mempelbagaikan perdagangan untuk mengurangkan risiko daripada ketidakstabilan pasaran global dan meningkatkan integrasi ke dalam rantaian nilai global yang dinamik.
"Ketiga adalah memanfaatkan penyertaan Malaysia dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA) untuk meningkatkan perdagangan, memperoleh keutamaan akses ke pasaran global serta mengurangkan halangan berbentuk tarif dan bukan tarif," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial