PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Kerajaan berhasrat memastikan keserasian penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) seiring dengan penyelarasan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini membangkitkan mengenai SEGiM agar ia menjadi badan kawal selia utama dalam memastikan ekosistem ekonomi gig berkembang secara mampan.
“Mungkin yang kita harapkan ialah keserasian antara matlamat menubuhkan satu SEGiM dengan RUU Pekerja Gig dan (sebelum ini) Kabinet telah meminta supaya Menteri Sumber Manusia (Steven Sim) untuk meneliti dan mengadakan sesi libat urus yang lebih meluas.
“Jadi, kita berhasrat untuk memastikan kedua-dua perkara berkenaan terselaras,” katanya dalam sidang media pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) SEGiM menyarankan Jemaah Menteri menimbang dan meluluskan penubuhan suruhanjaya berkenaan bagi memberi tumpuan kepada komponen kritikal dalam model ekonomi gig dan aspek yang memerlukan pengawalseliaan.
Ahmad Zahid berkata SEGiM akan memainkan peranan penting dalam menyeimbangkan kepentingan penyedia platform, pekerja gig, pengguna serta semua pihak berkepentingan, memastikan hak mereka dilindungi melalui penguatkuasaan dasar yang telus, pemantauan standard perkhidmatan serta pemerkasaan kawal selia kendiri dalam industri gig.
RUU Pekerja Gig yang dijangka dibentangkan kelak bertujuan melindungi kebajikan pekerja di sektor itu.
Dalam perkembangan lain, Fahmi menegaskan Malaysia perlu menggesa pihak Meta untuk mengenakan sekatan terhadap iklan yang dilarang, termasuk scam atau penipuan di platform Facebook.
Justeru, beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk segera menulis kepada pihak Meta berhubung isu iklan yang dilarang dalam Facebook.
“Sejujurnya, dalam lebih 20 sesi libat urus yang saya dan Timbalan Menteri (Teo Nie Ching) adakan dengan pelbagai platform termasuk Meta, kami telah menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap platform Facebook.
“Malangnya, pada waktu itu pihak Meta enggan memberi kerjasama. Jadi, saya lihat apa yang diusahakan di Singapura (berhubung pengiklanan di Facebook) mungkin memberi peluang kepada Malaysia untuk turut menggesa pihak Meta dan juga platform lain, bagi membolehkan iklan yang dilarang ini termasuk scam, dikenakan sekatan tertentu dan juga (melibatkan) proses verifikasi atau pengesahan identiti bagi pengiklan,” katanya.
Media Singapura melaporkan menjelang akhir Jun, semua pengiklan di Facebook akan diwajibkan untuk mengesahkan identiti mereka dengan memuat naik ID yang dikeluarkan oleh kerajaan, bertujuan mencegah penipuan dalam talian.
Beliau turut menekankan bahawa tindakan yang lebih tegas perlu diambil, tidak hanya terhadap akaun-akaun yang terlibat, tetapi juga terhadap kaedah pembayaran yang digunakan oleh pengiklan seperti yang sering digunakan oleh sindiket penipuan.
Fahmi dalam pada itu, mengingatkan semua pihak untuk berhenti mempolemikkan isu 3R (raja, agama, kaum), yang boleh menimbulkan perbalahan dan perpecahan masyarakat.
"Saya ingin ambil kesempatan ini untuk menyentuh titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Titah baginda, hormatilah antara satu sama lain. Jagalah sensitiviti antara agama dan kepercayaan.
"Jangan sesekali kita biarkan kejahilan dan keangkuhan merosakkan apa yang telah lama kita bina bersama," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial