AM

PM Anwar Mahu Penjawat Awam Amal Musyawarah Untuk Perkhidmatan Lebih Berkesan

03/01/2025 01:00 PM

PUTRAJAYA, 3 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penjawat awam di setiap peringkat mengamalkan pendekatan inklusif dalam perbincangan dan mesyuarat jabatan selaras dengan semangat musyawarah yang sebenar.

Beliau berkata semua anggota perkhidmatan awam tanpa mengira pangkat atau kedudukan perlu diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan mereka.

“Setiap jabatan, sekecil mana pun, mesti memastikan setiap anggota terlibat dalam perbincangan.

“Mesyuarat bukan hanya untuk ketua jabatan atau peringkat tertinggi. Ketua unit juga perlu melibatkan anggota di bawah mereka sehingga ke peringkat rendah,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar turut mencadangkan agar mesyuarat jabatan memberi peluang kepada setiap penjawat awam untuk bercakap bagi menyuarakan pandangan selama dua hingga tiga minit dalam tempoh setahun.

Beliau percaya pendekatan itu akan meningkatkan penglibatan dan menyemarakkan semangat kerjasama dalam perkhidmatan awam yang kini berjumlah 1.6 juta kakitangan.

“Saya yakin KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) boleh menyediakan kerangka pelaksanaan yang sesuai. Ini bukan sesuatu yang mustahil. Kita mahu musyawarah itu benar-benar bermakna,” katanya.

Mengenai kritikan keterlaluan terhadap kerajaan, Anwar berkata beliau tidak terlalu mengambil peduli berhubung perkara itu, tetapi berharap penjawat awam dapat menjelaskan fakta sebenar kepada masyarakat.

“Kalau dengar celoteh-celoteh ekstrem, ada yang kata tidak ada Islam, tidak ada Melayu dalam apa yang kita lakukan selama dua tahun ini. Penjawat awam harus membantu menjelaskan apa sebenarnya yang telah dilaksanakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan