PUTRAJAYA, 9 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) menyasarkan untuk menangani perubahan iklim melalui cadangan Deklarasi ASEAN mengenai Hak Alam Sekitar Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan sebagai antara keutamaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
AICHR juga akan menumpukan kepada hak pembangunan ekonomi, sosial, budaya dan politik serta kaitannya dengan perniagaan dan hak asasi manusia, kesaksamaan gender, alam sekitar, perubahan iklim, pertumbuhan inklusif dan pembangunan mampan.
“Kami akan mula mengkaji, mendokumentasikan dan mencapai persefahaman bersama ASEAN mengenai bencana dan konflik akibat perbuatan manusia melalui lensa hak asasi manusia, akauntabiliti dan perdamaian,” kata Pengerusi dan Wakil Malaysia untuk AICHR Edmund Bon Tai Soon kepada media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada Dialog Hak Asasi Manusia dan Hak Alam Sekitar Malaysia yang julung kali diadakan bertajuk ‘Malaysia’s Human Rights Priorities for ASEAN 2025 as Chair’.
Dialog anjuran Kementerian Luar bersama AICHR, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) itu berperanan sebagai platform penting bagi Malaysia untuk berunding dengan pihak berkepentingan dan memperkukuh komitmen mengenai hak asasi manusia dan perlindungan alam sekitar di seluruh rantau ini.
Pada dialog itu, perbincangan tertumpu kepada pendekatan Malaysia terhadap kemampanan dan inklusif berdasarkan rangka kerja MADANI.
Bon tidak menolak kemungkinan cabaran bakal dihadapi kerana tidak semua negara ASEAN mungkin sehaluan dalam isu ini.
Bagaimanapun, Malaysia akan tetap teguh dalam usahanya untuk menangani isu hak asasi manusia sambil mengukuhkan kemampuan suruhanjaya itu bagi menghadapi cabaran dinamik di rantau berkenaan.
Bon berkata keterangkuman memerlukan suara golongan rentan dan terpinggir seperti wanita, kanak-kanak, Orang Kurang Upaya, Orang Asli, pekerja asing dan pelarian didengari serta ditangani.
“Kumpulan ini berhak untuk mengambil bahagian dan mendapat manfaat secara saksama daripada pembangunan ekonomi, sosial, budaya dan politik.
“Kemampanan perlu mengiktiraf dan menghormati hak asasi manusia serta alam sekitar. Pencapaian pertumbuhan ekonomi sepatutnya memberikan kesan minimum terhadap hak asasi manusia dan alam sekitar dengan mereka yang gagal bertindak secara bertanggungjawab perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.
Bon mengulangi kepentingan pendekatan berasaskan hak untuk memastikan pembangunan memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan maruah, hak dan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri.
Pemulihan yang berkesan untuk mangsa dan mangsa yang terselamat kekal penting dalam usaha ini, katanya.
Bon berkata kepimpinan Malaysia di ASEAN memberikan peluang besar untuk meningkatkan standard hak asasi manusia di seluruh rantau ini.
Dialog itu menyaksikan penyertaan hampir 90 pihak berkepentingan, termasuk agensi kerajaan, perniagaan, organisasi masyarakat sivil, badan pemikir dan ahli akademik untuk bertukar-tukar idea serta memberikan pandangan yang akan membimbing keutamaan Malaysia di bawah kepimpinannya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial