KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Keadaan banjir di Johor bertambah buruk dengan jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu meningkat mendadak petang ini, manakala di Perak meningkat sedikit.
Di JOHOR, Kluang, Pontian dan Kulai merupakan daerah terbaharu dilanda banjir di negeri itu menyebabkan jumlah mangsa meningkat kepada 1,597 orang setakat 4 petang ini berbanding 897 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa daripada 489 keluarga berlindung di keseluruhan 24 PPS yang beroperasi di empat daerah terjejas.
“Sebanyak 11 PPS baharu dibuka iaitu Sekolah Agama Kampung Tengah 1, Dewan Serbaguna Kahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (Tamil) Jalan Haji Manan di Kluang; Dewanraya Kampung Baru Sengkang, Sekolah Kebangsaan (SK) Senai Dewan Raya Kampung Seri Paya dan SJK Cina Batu di Kulai.
“Selain itu, SK Kampung Melayu Raya, SK Kampung Sawah, Kompleks Muafakat Sungai Pinggan (mukim Sungai Pinggan) dan SK Seri Bukit Panjang di Pontian, sementara di Kota Tinggi, 13 PPS masih lagi beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lima sungai dilaporkan melebihi paras bahaya iaitu stesen Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dengan bacaan 15.32 meter (m), Sungai Siam di Kampung Sungai Siam (21.94 m), Sungai Siku di Kampung Murni Jaya (18.11 m), Kulai, Sungai Skudai di Kampung Laut (5.07 m) dan Parit Keliling di Kampung Pasir (1.14 m) di Johor Bahru.
Beliau turut memaklumkan empat jalan ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan akibat banjir di Kota Tinggi melibatkan Jalan Lok Heng-Mawai-Sungai Mas, Jalan Mawai Lama (Rumah Burung), Jalan Johor Bahru-Endau dan Jalan Kota Tinggi-Kluang.
Azmi berkata, keadaan cuaca di tujuh daerah di Johor diramalkan mendung kecuali Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kulai yang dijangkakan hujan petang ini.
Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu bertambah kepada 30 orang daripada lapan keluarga berbanding 27 orang daripada tujuh keluarga yang masih berlindung di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di Beruas, Manjung.
"Kesemua mangsa yang terjejas banjir ialah penduduk dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi serta Kampung Pengkalan Damar," katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan daerah Perak Tengah, Hilir Perak, Bagan Datuk, Manjung, Kinta, Kuala Kangsar serta Kampar mengalami ribut dan hujan pada sebelah petang dan malam hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial