KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Pelancaran Blok Sayap Selatan Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang (KPJ Penang) hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam misi KPJ Healthcare Berhad untuk meningkatkan akses dan kualiti penjagaan kesihatan di kawasan utara dan sekitarnya.
KPJ Healthcare dalam kenyataan memaklumkan blok baharu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan komitmen Kumpulan itu untuk mengembangkan infrastruktur penjagaan kesihatannya dan memperkenalkan teknologi tercanggih, sekali gus mengukuhkan peranan sebagai peneraju dalam sektor penjagaan kesihatan swasta di Malaysia.
“Pengembangan KPJ Penang selaras dengan pertumbuhan sektor pelancongan kesihatan Malaysia, meletakkan hospital ini sebagai destinasi yang dipercayai bagi pesakit antarabangsa yang mencari penjagaan berkualiti tinggi.
“Kemudahan canggih hospital ini, digabungkan dengan Telemedicine Command Service untuk koordinasi pesakit antarabangsa yang cekap, meningkatkan daya tarikan hospital kepada pelancong kesihatan sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serantau,” menurut kenyataan itu.
Menurut KPJ Healthcare peningkatan kapasiti katil daripada 193 kepada 319 buah membolehkan KPJ Penang menampung lebih banyak pesakit dan memperkemas operasi, memastikan penjagaan berkualiti tinggi diberikan tepat pada masanya untuk komuniti.
Blok baharu ini dilengkapi dengan teknologi eksklusif seperti Teknologi Krioterapi Cryo-7, yang mengurangkan kesakitan dan keradangan semasa proses pemulihan, serta Perkhidmatan Pemulihan Robotik Tangan canggih, yang menyediakan terapi berfokuskan ketepatan untuk meningkatkan mobiliti dan hasil pemulihan.
Bersempena pelancaran ini, KPJ Penang juga memperkenalkan inisiatif Program Sekolah Angkat dengan menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Bumbong Lima sebagai sekolah angkat.
“Melalui program ini, hospital akan menaja alat bantu pendengaran, menyediakan penilaian pendengaran percuma dan menawarkan penyelenggaraan tahunan untuk alat bantu pendengaran bagi menyokong komuniti orang kurang upaya (OKU).
“Inisiatif ini sejajar dengan matlamat tanggungjawab sosial korporat Kumpulan KPJ yang lebih luas, dengan komuniti pekak sebagai antara kumpulan fokus utama pada 2025. Program ini termasuk rancangan untuk memperluas latihan bahasa isyarat untuk kakitangan dan membangunkan istilah bahasa isyarat berkaitan penjagaan kesihatan yang baharu untuk meningkatkan kebolehcapaian,” kata kenyataan itu.
Pengerusi KPJ Healthcare Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata pelancaran sayap baharu ini menekankan dedikasi KPJ Healthcare untuk mengutamakan penjagaan berteraskan pesakit.
“Melalui inisiatif seperti Program Sekolah Angkat, KPJ mengulangi komitmen untuk menjadikan penjagaan kesihatan lebih inklusif dan mudah diakses, dengan rancangan untuk memperluas latihan bahasa isyarat dan meningkatkan komunikasi untuk komuniti OKU,” katanya dalam kenyataan itu.
Sejak 2003, KPJ Penang telah mengekalkan akreditasi Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) yang berprestij, menekankan komitmen terhadap piawaian global dalam kualiti dan keselamatan pesakit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial