JOHOR BAHRU, 20 Jan (Bernama) -- Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN bersetuju mengenai keperluan untuk mempromosikan lokasi pelancongan menengah dan tertiari dalam usaha menangani isu lebihan pelancong.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (MOTAC) Datuk Roslan Abdul Rahman berkata pembukaan lokasi alternatif itu bukan sahaja membantu menangani isu lebihan pelancong tetapi juga membuka peluang baharu kepada negara-negara anggota.
“Menteri-Menteri (Pelancongan) ASEAN tidak membincangkan risiko lebihan pelancong tetapi ada membincangkan untuk membuka kawasan-kawasan yang kurang popular.
“Anggota-anggota ASEAN sedar bahawa jangan hanya tertumpu kepada satu atau dua tempat tetapi memberi peluang kepada pelancong-pelancong untuk melawat kawasan menengah dan tertiari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penutup Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN bersama rakan dialog di sini hari ini.
Mesyuarat itu diadakan sempena Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025, yang berlangsung di sebuah hotel di sini dari 15 Jan hingga hari ini.
Pada 16 Jan lepas, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk P. Manoharan berkata bahawa Malaysia sedang berusaha menangani risiko lebihan pelancong dengan memberi tumpuan kepada amalan pelancongan lestari dan pembangunan infrastruktur bagi melindungi warisan semula jadi dan budaya negara.
Beliau berkata meskipun Malaysia belum menghadapi lebihan pelancong secara meluas, beberapa lokasi seperti Semporna di Sabah telah mula berdepan masalah.
Dengan tema Unity in Motion: Shaping ASEAN’s Tourism Tomorrow, ATF 2025 bertujuan mempromosikan produk pelancongan serantau, memudahkan pertukaran pengetahuan, mewujudkan jaringan dan meningkatkan kerjasama dengan pemimpin pelancongan global bagi menambah jumlah kedatangan pelancong ke ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial