AM

DBKL Diminta Selesaikan Kerja Naik Taraf Jalan Melayu Sebelum Ramadan Ini

02/02/2025 11:54 AM

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta memastikan kerja-kerja menaik taraf Jalan Melayu di sini, dapat diselesaikan sebelum Ramadan pada awal Mac ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkata beliau sendiri berkesempatan meninjau kemajuan naik taraf projek berkenaan susulan lawatan Perdana Menteri  Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Pada 10 Jan lepas, Perdana Menteri dilapor meminta DBKL turun padang meninjau kawasan perniagaan yang usang, uzur dan memerlukan penambahbaikan di sekitar Jalan Masjid India.

Susulan itu, DBKL memaklumkan selepas kerja naik taraf selesai, kawasan gerai penjaja di sekitar Jalan Melayu dan Jalan Masjid India akan tampil dengan wajah baharu yang lebih menarik, bersih dan teratur.

Terdahulu, Dr Zaliha turut menyempurnakan pelepasan program Bersih-KAL dan Kempen Sifar Sisa di bandar raya Kuala Lumpur di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, awal pagi hari ini.

Beliau berkata Bersih-KAL adalah satu daripada program sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 yang merupakan perpanjangan kepada program Bersih Setiap Tempat (BeST) yang beliau lancarkan baru-baru ini.

“Kuala Lumpur ini ibu kota dan patut dijadikan contoh dalam pelbagai perkara termasuk terkait keseimbangan dan kemampanan tamadun sesebuah bandar.

“Justeru, saya selalu tekankan kepentingan kebersihan sebagai aspek utama selaras dengan visi Bandar CHASE, iaitu satu daripada komponennya adalah Clean City atau Bandar Bersih, sebagai elemen tunjang kepada bandar yang mampan dan berdaya huni,” katanya.

Beliau berkata program seumpama itu adalah manifestasi kepada nilai MADANI yang acap kali ditekankan oleh Perdana Menteri iaitu sesebuah bandar tidak hanya fokus kepada pembangunan fizikal seperti pencakar langit yang tinggi, tetapi perlu memberi penekanan kepada aspek islah kepada ketamadunan rakyatnya, termasuklah dalam aspek kebersihan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan