Oleh R. Ratcharathan
GEORGE TOWN, 3 Feb (Bernama) -- Pedati perak yang membawa arca Dewa Murugan bersedia untuk mengekalkan tradisi 131 tahun dengan meneruskan perarakan mengikut cara tradisional sempena sambutan Thaipusam pada 11 Feb ini, sekali gus melambangkan keagungan tradisi Hindu yang diwarisi sejak berabad-abad.
Pemegang amanah Kuil Nattukotai Chettiar, Dr A. Narayanan, berkata pedati yang diperbuat di Karaikudi, Tamil Nadu, India dan dibawa ke Pulau Pinang melalui kapal air pada Januari 1894, kini sedang menjalani persiapan akhir termasuk kerja pembersihan dan pengilapan.
“Kami menggunakan pedati yang sama sejak 1894, cuma menukar beberapa bahagian seperti roda pedati dan untuk tahun ini persiapan mengambil masa kira-kira tiga hingga empat minggu, bermula sebelum Thaipusam. Kami hanya ubah suai bahagian-bahagian yang rosak sahaja, jika tidak kami kekalkannya.
“Kami juga menukar lampu-lampu yang rosak dan sebelum ini kami bercadang untuk menukar kepada lampu diod pemancar cahaya (LED) untuk menghiasi pedati, namun kami mendapati ia tidak cukup terang, jadi kami kekalkan lampu pijar supaya ia lebih terang, khususnya pada waktu malam,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di Kuil Kovil Veedu di sini, baru-baru ini.
Beliau juga berkata seperti biasa, pedati berkenaan akan ditarik dua ekor lembu secara bergilir-gilir dengan 16 kali pertukaran dilakukan menggunakan sembilan pasangan lembu jantan bagi memastikan haiwan-haiwan tersebut tidak keletihan sepanjang perarakan.
Narayanan menjelaskan setiap pasangan lembu akan menarik pedati untuk jarak kurang daripada satu kilometer, memandangkan perarakan keseluruhan pedati perak dari Kuil Nagarathar Kovil Veedu di Lebuh Penang ke Kuil Nattukottai Chettiar di Jalan Air Terjun hanya meliputi jarak sembilan kilometer.
Katanya penggunaan lembu jantan dalam perarakan pedati merupakan tradisi sebagai penghormatan kepada ‘Nandi’, iaitu lembu suci yang dianggap sebagai pelindung kepada keluarga Dewa Shiva dalam tradisi Hindu. Dewa Murugan adalah anak kepada Dewa Shiva.
Beliau berkata pedati yang diperbuat daripada kayu pokok digunakan selama 35 tahun bagi sambutan Thaipusam di Pulau Pinang sebelum ditukar kepada pedati perak pada 1894, yang kini dengan ketinggian 7.07 meter dan beratnya lima tan.
Beliau juga memaklumkan pedati perak akan memulakan perjalanan dari Kuil Nagarathar Kovil Veedu, Lebuh Penang pada 7 pagi, 10 Feb dengan melalui Lebuh Chulia, Lebuh Victoria, Maxwell Road, Jalan Datuk Keramat, Jalan Western dan dijangka tiba di Kuil Nattukottai Chettiar sebelum 12 tengah malam.
Bagi perjalanan pulang, beliau berkata pedati perak itu akan bergerak dari Kuil Nattukottai Chettiar dalam lingkungan 6.30 petang hingga 7 malam pada 12 Feb dan dijangka sampai ke Kuil Nagarathar Kovil Veedu pada sebelum 8 pagi, 13 Feb.
Sambutan Thaipusam di Pulau Pinang lebih unik dengan disambut sehari awal sebelum Thaipusam yang dikenali sebagai ‘Chetti Pusam’, iaitu perarakan oleh komuniti Chettiar di negeri itu dengan membawa kavadi burung merak bersama perarakan pedati perak.
Selain perarakan pedati perak, Thaipusam di Pulau Mutiara itu juga lebih meriah dengan penampilan pedati emas sejak 2017 yang membawa ‘vel’ (lembing), senjata suci Dewa Murugan, yang bergerak dari Kuil Maha Mariaman di Lebuh Queen pada pukul 6 pagi (10 Feb) dan tiba di Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani di Jalan Kebun Bunga.
Sepanjang perjalanan perarakan kedua-dua pedati tersebut, kelapa dipecahkan ke tanah sebagai ritual keagamaan. Sambutan di negeri itu juga terkenal dengan barisan lebih 100 gerai yang dikenali sebagai ‘Thaneer Panthal’ yang dihiasi secara meriah selain mengedarkan makanan vegetarian dan minuman secara percuma kepada penganut.
Penganut Hindu akan menyambut Thaipusam pada 11 Febi ini bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya, Dewi Parvati, bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.
Di Malaysia, Thaipusam turut disambut secara besar-besaran di kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, Selangor, kuil Arul Subramaniar di Ipoh, Perak dan Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam, Sungai Petani, Kedah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial