KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan harga lantai belian padi pada minggu depan berserta subsidi tambahan bagi mengimbangi kesan kepada pengguna terutamanya melibatkan harga beras.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu akan membentangkan kertas menteri bagi menjelaskan dan mengumumkan kenaikan harga lantai berkenaan.
“Kenaikan harga lantai ini akan menyebabkan kenaikan harga beras bagi pengguna. Jadi bagaimana kita nak imbangi ini, naik harga (belian padi) bagi pesawah akan naik harga (beras) bagi pengguna, kita tidak mahu naik bagi pengguna.
“Jadi setakat ini saya bincang dengan Kementerian Kewangan supaya kerajaan akan menampung subsidi supaya harga pasaran beras tempatan bagi pengguna tidak dinaikkan, maknanya kerajaan akan tampung lagi (subsidi) sekitar RM150 juta untuk enam bulan, itu akan dimuktamadkan dalam masa singkat,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang membangkitkan gesaaan golongan pesawah untuk menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,800 setan metrik.
Pada 2023, kerajaan menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per metrik tan daripada RM1,200 per metrik tan sejak 2014.
Bagaimanapun Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) baru-baru ini mahu kerajaan mempertimbangkan cadangan pertubuhan itu untuk menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per metrik tan kepada RM1,800 per metrik tan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau faham mengenai isu tersebut dan telah pun meneliti memorandum berkaitan yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) selain turut berbincang bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Bagaimanapun beliau menempelak pembangkang yang dilihat seolah-olah cuba menafikan usaha kerajaan untuk membantu golongan pesawah dalam menaikkan harga lantai belian padi, sedangkan mereka sendiri tidak berbuat apa-apa ketika mentadbir negara sebelum ini.
“Jangan nafikan, ini kenyataan. Kamu bising-bising, riuh-rendah sekampung angkut orang dengan bas tapi masa kamu perintah kamu tak naik (harga lantai belian padi), kami yang naikkan.
“Kita tidak boleh bicara satu pihak bagi nak pertahankan pengguna memangsakan pesawah atau naikkan pesawah memangsakan pengguna kerana pengguna miskin B40 pun ramai,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berhubung harga lantai belian padi RM1,300 yang agak kecil dibandingkan kenaikan kos harga diesel, Anwar berkata beliau akan melihat perkara itu.
“Kalau ada nama petani atau pesawah yang terbeban dengan kos diesel tolong hantar nama dan kita akan bayar balik dia punya bayaran,” katanya.
Menjawab soalan Ronald berhubung kos pengeluaran padi yang meningkat, Perdana Menteri berkata sejak Kerajaan MADANI memerintah, banyak langkah yang telah diambil oleh kerajaan bagi membantu pesawah dalam isu tersebut antaranya penambahan bantuan khas dua tahun berturut-turut pada 2023 dan 2024.
“Hanya setelah Kerajaan MADANI naik, barulah bantuan khas, sumbangan tunai ditambah RM228 juta pada 2023 dan ditambah pada 2024 RM600 setahun bagi setiap pesawah. Ia belum dibuat sebelum ini,” katanya.
Malah Anwar berkata kerajaan turut memperkenalkan Skim Takaful Tanaman Padi dengan peruntukan dana awal sebanyak RM50 juta manakala di Sabah dan Sarawak lebih RM400 juta peruntukan disalurkan untuk menampung harga beras yang tinggi di negeri berkenaan.
Sementara itu menjawab soalan asal Ronald, Anwar berkata kerajaan telah meluluskan RM1 bilion untuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi program peningkatan produktiviti pengeluaran padi yang akan dilancarkan akhir bulan ini.
“Ia sekurang-kurangnya dapat memenuhi daripada sekitar 56 peratus keperluan tempatan sekarang kepada 70 peratus,” katanya.
Ronald ingin tahu adakah kerajaan bercadang mengkaji semula dasar sedia ada iaitu penghasilan 70 peratus beras tempatan dan pengimportan 30 peratus beras luar untuk kegunaan rakyat agar industri padi kekal utuh dan lestari selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial