KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Sebanyak 50 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) menerima manfaat daripada program Pembiayaan Bantuan Pendidikan Budi MARA - Takaful IKHLAS yang bertujuan mengurangkan kekangan kewangan penerima dan memupuk akses pendidikan berkualiti.
Takaful IKHLAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelajar yang terpilih menerima manfaat sepanjang tempoh pengajian mereka di MRSM, bermula Tingkatan 1 pada 2020 sehingga tamat pengajian Tingkatan 5.
Menurut kenyataan itu, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB) berkenaan telah menyalurkan dana RM375,000 melalui inisiatif pengumpulan dana patuh syariahnya, IKHLAS Barakah House (IBH) kepada program berkenaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi dalam kenyataan sama memaklumkan Takaful IKHLAS sentiasa komited berkongsi rezeki dan membantu menyumbang kepada pemerkasaan generasi muda serta komuniti di Malaysia.
“Kami berharap dengan bantuan pembiayaan pembelajaran seperti ini, ia tidak terhenti setakat pelajar-pelajar ini sahaja.
“Dengan ilmu yang diperoleh hasil daripada pembelajaran di MRSM, sedikit sebanyak turut menyumbang kepada kemajuan negara pada masa hadapan kerana mereka bakal menjadi penggerak ekonomi negara kelak”, katanya.
Takaful IKHLAS memaklumkan fokus utama program itu untuk meringankan beban kewangan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan bagi membantu mereka dari aspek yuran pengajian serta perbelanjaan kendiri agar lebih fokus dalam pembelajaran untuk mencapai kecemerlangan akademik.
Menurut kenyataan itu inisiatif pembiayaan berkenaan selari dengan objektif penubuhan IBH untuk menyokong program perantaraan berasaskan nilai (VBIT) serta menjana pembangunan dan kelestarian masyarakat yang positif melalui bantuan kewangan dengan lima fokus utama termasuk pendidikan.
“Sebahagian besar sumber dana IBH adalah melalui sumbangan zakat perniagaaan syarikat Takaful IKHLAS dan juga sumbangan daripada peserta-peserta Takaful IKHLAS sendiri melalui pelbagai pelan dan produk takaful. Semenjak penubuhannya pada 2018, IBH telah menjayakan lebih 80 inisiatif dan melibatkan sumbangan lebih RM6 juta
“Selain itu, program ini menyokong agenda pembangunan mampan global seperti digariskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya matlamat keempat - Pendidikan Berkualiti,” katanya.
Terdahulu, Wan Ahmad Najib merasmikan majlis penutup program Pembiayaan Bantuan Pendidikan Budi MARA - Takaful IKHLAS yang berlangsung di Kota Bharu pada Selasa.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA Shahrizal Mohd Saderi, Pengerusi IBH merangkap Naib Presiden & Ketua Jabatan Shariah dan Penasihat Perundingan Perniagaan Kumpulan Takaful Ikhlas Family Berhad Wan Jemizan W. Deraman.
Hadir sama, penerima sumbangan dan wakil pengiring daripada MRSM terlibat iaitu MRSM Kuala Krai, MRSM Merbok, MRSM Terendak, MRSM Muar dan MRSM Mersing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial