AM

Kepengerusian ASEAN: Persiapan Malaysia Antara Yang Terbaik - PM Anwar

10/02/2025 11:19 AM

PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Persiapan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dalam mengurus ratusan program secara efektif dilaksanakan dengan baik oleh penjawat awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pengurusan ASEAN bukan sekadar soal kedudukan atau kebanggaan, tetapi mencerminkan kemampuan penjawat awam memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.

“Ini tentunya memerlukan penugasan yang lebih daripada biasa.

“Saya lihat umpamanya saya pun ke berpuluh negara...Tahap persiapan kita, acara-acara kita itu di antara yang terbaik yang saya dapat saksikan. 

“Walaupun tidak semewah beberapa negara, tetapi tahap kecekapan, disiplin dan kerapian itu sangat membanggakan,” katanya pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Anwar turut mengambil kesempatan menyampaikan penghargaan kepada penjawat awam yang sangat berdedikasi dan bertungkus-lumus memastikan kelancaran urusan pentadbiran negara, terutama dalam persiapan acara rasmi melibatkan pemimpin antarabangsa.

“Saya memilih untuk menyebut perkara ini kerana ratusan ribu (penjawat awam) di semua peringkat (terlibat membuat persiapan), dan kadang-kadang hal yang baik begini tidak pernah mendapat liputan di media atau media sosial.

“Yang ada ialah akan dipilih beberapa kes keterlanjuran atau kesalahan. Tidak ada salah untuk besarkan beberapa kesalahan, tetapi tidak adil untuk tidak melaporkan kegiatan tahap kecekapan,” katanya.

Perdana Menteri turut berkongsi pengalamannya ketika mencuba kenderaan elektrik (EV) yang dihadiahkan oleh Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan baru-baru ini.

“Semalam, saya kebetulan cuba mobil EV yang dihadiahkan oleh Presiden Turkiye.. beliau hadiahkan kepada Perdana Menteri tapi bagi saya ia kepada negara, ia bukan hak saya. Saya boleh pakai selagi saya jadi Perdana Menteri, tetapi selepas itu kena serah balik kepada negara,” katanya.

Anwar berkata ketika dalam perjalanan ke Kompleks Sri Perdana pada hari Ahad sekitar pukul 1.30 tengah hari, beliau melihat puluhan penjawat awam dari pelbagai agensi termasuk Kementerian Luar, Jabatan Perdana Menteri, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pendidikan sedang bertugas mempersiapkan lawatan rasmi Presiden Turkiye.

“Saya lihat ramai yang masih bertugas dan dengan senyum rapi untuk mempersiapkan acara esok (hari ini) untuk Presiden Turkiye.. jadi saya salute kepada semua saudara-saudara yang bertugas dengan begitu baik,” katanya.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula hari ini atas jemputan Perdana Menteri.

Lawatan ini bertujuan mengukuhkan hubungan rapat antara kedua-dua negara yang terus berkembang berasaskan hubungan yang lama terjalin, terutamanya selepas ia dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Julai 2022.

Pada 2024, Türkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan destinasi import keempat terbesar dari rantau Asia Barat. Jumlah dagangan Malaysia dengan Türkiye meningkat sebanyak 18.7 peratus kepada RM24.13 bilion (US$5.28 bilion) dari tahun sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan