AM

Dasar MADANI, Hubungan Antarabangsa Fokus Perbincangan Bersama Pemimpin Muda Global -- Zambry

10/02/2025 03:42 PM

PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Dasar kerajaan MADANI, Kepengerusian ASEAN, dasar luar dan dasar pendidikan Malaysia merupakan antara perkara yang dibincangkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersama peserta program Atlantic Council Millennium Leadership: Malaysia Study Tour 2025.

Majlis yang berlangsung kira-kira satu jam di Kompleks Seri Perdana di sini itu, disertai 27 peserta yang terdiri daripada golongan pemikir serta pembuat dasar daripada Pejabat Timbalan Presiden Amerika Syarikat, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat dan JP Morgan.

“Saya telah dipertanggungjawabkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berjumpa dengan kumpulan peserta ini. Mereka ada program yang dipanggil Malaysia Study Tour yang diadakan di sini, dan mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Sesi ini membantu kita (kerajaan) memberikan gambaran sebenar tentang kerajaan MADANI serta dasar-dasar yang dijalankan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program itu hari ini.

Program yang julung kali diadakan itu berlangsung selama lapan hari bermula 5 Feb, merupakan anjuran Pejabat Perdana Menteri dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), dengan disertai peserta berusia antara 25 dan 40 tahun.

Zambry berkata sesi interaktif itu turut memberi peluang kepada peserta untuk mengajukan pelbagai soalan berkaitan topik yang dibincangkan, serta bagaimana Malaysia memupuk jalinan hubungan baik antara rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Mereka juga ingin tahu tentang hubungan antara kaum, agama di Malaysia dan dari segi bagaimana kita berhadapan dengan isu-isu dalam negara serta konflik yang berlaku di negara luar,” katanya.

Beliau berkata sesi itu bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta malah menjadi platform untuk Malaysia dalam memperkukuh hubungan antarabangsa.

“Kita berbincang mengenai topik yang relevan seperti Tenaga Boleh Baharu (TBB), ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan pemuliharaan alam sekitar.

“Ini satu langkah positif dalam mempromosikan pembangunan mampan di Malaysia. Selain itu, kita juga dapat memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan organisasi antarabangsa seperti Atlantic Council,” katanya.

Berkongsi reaksi peserta selepas tamat sesi perbincangan itu, Zambry berkata rata-rata menzahirkan penghargaan kepada kerajaan MADANI atas penganjuran program itu, kerana telah memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai Malaysia secara langsung daripada wakil kerajaan. 

Antara pengisian aktiviti lain dalam program Atlantic Council Millennium Leadership: Malaysia Study Tour 2025 itu ialah pemukiman kepimpinan yang akan diadakan di Bukit Tinggi, Pahang, sesi interaksi di Parlimen dan lawatan ke Kuching, Sarawak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan