KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat menyeru kerajaan agar memperkenalkan Akta Good Samaritan untuk menyediakan perlindungan undang-undang kepada orang awam dan responden pertama yang secara sukarela membantu individu dalam kecemasan.
Pengerusi pertubuhan itu Tan Sri Lee Lam Thye berkata undang-undang sama telah wujud di banyak negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan United Kingdom bagi memastikan individu yang berniat baik tidak dihalang daripada membantu orang lain, susulan kebimbangan terhadap kesan undang-undang.
Beliau berkata Akta Good Samaritan adalah penting kerana ia menggalakkan bantuan awam dalam kecemasan, mengurangkan kematian dan kecederaan yang boleh dielakkan, menangani bystander effect (orang yang berada di tempat kejadian), membantu responden pertama dan sukarelawan, serta mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin.
"Bagi memastikan Akta Good Samaritan digubal dengan baik dan komprehensif, perbincangan harus melibatkan Kementerian Kesihatan, Jabatan Peguam Negara, organisasi perubatan dan pertolongan cemas, pasukan tindak balas kecemasan dan penguatkuasaan undang-undang, serta pakar hak asasi manusia dan perundangan, kumpulan komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Kami menggesa kerajaan mengambil perkara ini dengan serius dan memperkenalkan Akta Good Samaritan untuk melindungi dan memperkasakan rakyat Malaysia bagi membantu mereka yang memerlukan tanpa rasa takut terhadap implikasi undang-undang. Masyarakat yang menghargai kebaikan dan solidariti akhirnya akan menjadi lebih selamat dan kuat untuk semua," katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata pengenalan Akta Good Samaritan bukan hanya tentang perlindungan undang-undang, tetapi juga ia memupuk budaya keprihatinan, tanggungjawab dan kewajipan sivik.
"Kita tidak boleh membiarkan perasaan ragu-ragu dan ketakutan meragut nyawa. Masa untuk bertindak adalah sekarang," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial