PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Malaysia dan Turkiye menegaskan komitmen mereka untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan tumpuan khusus terhadap pertahanan, keselamatan tenaga serta sains dan teknologi.
Dalam kenyataan bersama hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan menekankan kepentingan berterusan dalam sektor penting berkenaan bagi mengukuhkan kerjasama serta menangani cabaran bersama.
“Kedua-dua pemimpin menyatakan penghargaan mereka terhadap kerjasama erat dalam bidang pertahanan yang disokong rangka kerja undang-undang dan Mesyuarat Dialog Ketenteraan.
“Kewujudan mekanisme kerajaan kepada kerajaan untuk perolehan produk pertahanan pada Jun tahun lepas diiktiraf sebagai langkah penting ke arah ini,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, kerjasama berkenaan turut dibuktikan melalui pelbagai perolehan, menekankan kerjasama aktif dalam bidang sains, teknologi dan industri pertahanan, seterusnya mewujudkan ekosistem pertahanan strategik merangkumi penerokaan bidang kerjasama baharu termasuk pemindahan teknologi, pembangunan bersama dan pembuatan.
Menurut kenyataan itu, Malaysia-Turkiye yakin kerjasama dalam industri pertahanan mampu meningkatkan keupayaan dan kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk mengukuhkan usaha membanteras jenayah khususnya jenayah rentas sempadan dan terancang serta segala bentuk keganasan.
Pertukaran maklumat dan pengalaman dalam mengendalikan isu berkenaan juga dikenal pasti sebagai bidang utama kerjasama.
Keselamatan tenaga juga diketengahkan sebagai keutamaan bagi kedua-dua negara, dengan Anwar dan Erdoğan mengakui kepentingan isu berkenaan dalam agenda global.
“Mereka berbincang mengenai peluang kerjasama dalam peralihan tenaga terutama berkaitan projek hidrokarbon dan tenaga boleh baharu.
“Kedua-dua pihak percaya keperluan untuk dialog mengenai bahan mentah utama untuk merealisasikan projek tenaga bersih pada masa depan,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin juga mengakui peranan penting sektor swasta bagi memacu projek keselamatan dan peralihan tenaga, menggalakkan penglibatan lebih besar dalam membangunkan penyelesaian yang praktikal.
Sementara itu, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) turut dikenal pasti sebagai bidang untuk kolaborasi dengan tumpuan pada semikonduktor, bioteknologi, tenaga boleh baharu, angkasa dan bidang lain yang berkaitan STI.
“Kedua-dua pemimpin mencapai persefahaman bahawa perkongsian antara Malaysia-Turkiye dalam sains, teknologi dan aplikasi angkasa mempunyai potensi meluas.
“Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Bersama Malaysia-Turkiye adalah inisiatif penting yang bertujuan memajukan keupayaan angkasa kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Erdoğan tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi dua hari, diiringi Wanita Pertama Turkiye Emine Erdoğan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial