KANGAR, 11 Feb (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melalui syarikat pemulanya Athanliz Innovations Sdn Bhd (AISB) menjalinkan kerjasama dengan Pusat Koreksional Negeri Perlis di Arau bagi membangunkan projek pertanian dan keusahawanan ‘Halia Di Penjara: Biar Benih Jadi Jasa & Kenangan’.
Rektor UiTM Cawangan Perlis Prof Madya Dr Ahmad Nizan Mat Noor berkata projek yang dibiayai dana All Parties Parliamentary Group Malaysia sebanyak RM40,000 itu bertujuan membantu banduan yang bakal dibebaskan memperoleh kemahiran dalam usaha memudahkan mereka mendapatkan peluang pekerjaan setelah mereka keluar dari penjara.
Ahmad Nizan berkata projek pertanian itu melibatkan penyertaan seramai 12 banduan lelaki daripada pelbagai latar belakang yang diberikan latihan pertanian dan keusahawanan dengan pemantauan AISB menerusi sistem mentorship oleh enam usahawan yang bertindak sebagai mentor perniagaan mereka.
“Inisiatif ini diambil bagi membantu peserta menjana pendapatan selepas dibebaskan. Fasa pertama projek bermula pada September 2024 dengan penanaman 300 kilogram (kg) benih halia dalam kawasan Pusat Koreksional Negeri Perlis.
“Seterusnya, peserta turut mengikuti program latihan selama lima bulan, merangkumi asas perniagaan, pemasaran digital, pembuatan dan pembungkusan produk serta pemadanan perniagaan sebelum dipantau selama enam bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena majlis penutup projek pertanian tersebut serta penyampaian sijil kepada 12 banduan yang terlibat dalam projek itu.
Peserta menamatkan modul latihan yang dibangunkan dan disumbangkan oleh tujuh pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Perlis di Pusat Koreksional Negeri Perlis di Arau hari ini.
Menurut Ahmad Nizan, halia yang ditanam dijangka boleh dituai seawal April 2025, dengan anggaran hasil sebanyak 700 kilogram yang akan diproses dan dikomersialkan.
Sementara itu, Pengarah Urusan AISB Dr Athifah Najwani Shahidan berkata hasil tuaian halian tersebut akan dikomersialkan untuk menjadi empat produk iaitu Bam Urut Aromaterapi Halia, Minyak Rambut Halia, Gummy Halia dan Serbuk Jus Halia.
“Kita menyasarkan pengeluaran 500 unit bagi setiap produk dalam kumpulan pertama dengan kerjasama usahawan Perlis untuk tujuan promosi dan pemasaran.
“Sebagai permulaan, produk akan dijual di Pusat Koreksional Negeri Perlis, Kafe Ar-Rehlah milik AISB serta platform pemasaran AISB dan pasar tani di negeri ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial