AM

Harga Lantai Belian Padi Diselaras Kepada RM1,500 Berkuat Kuasa Ahad Ini

13/02/2025 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Harga lantai belian padi akan diselaraskan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa Ahad ini (16 Feb).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ini mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian seperti baja dan racun serta impak kepada kos pengeluaran beras yang seterusnya memberi kesan kepada harga beras di pasaran.

Beliau pada masa sama memaklumkan harga beras putih tempatan dikekalkan pada RM2.60 sekilogram (kg) dengan kerajaan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.

“Ini bagi memastikan keberadaan bekalan beras putih tempatan sekitar 24 juta kampit 10 kg di pasaran.

“Berhubung perkara ini, kementerian sedang memperincikan kaedah pelaksanaan dan ia akan diumumkan setelah perincian dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya pada sesi penerangan menteri mengenai situasi semasa industri padi dan beras negara di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad turut memaklumkan kementerian kini sedang berunding dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk menyemak penyelarasan harga beras putih import baharu yang ketika ini berada di paras RM2,800 per tan metrik.

“Ini bagi membolehkan pengguna memperoleh bekalan beras import pada harga yang lebih rendah, seterusnya dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata kementerian juga dalam usaha memuktamadkan rundingan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Kewangan untuk membolehkan penyedia perkhidmatan dalam industri padi dan beras layak menerima bantuan subsidi diesel di bawah Program Budi MADANI.

Mengulas mengenai usaha reformasi menyeluruh dalam industri padi dan beras bagi meningkatkan daya saing industri, Mohamad berkata pihaknya sedang meneliti keseluruhan Akta Kawalan Padi Dan Beras 1994 (Akta 522) untuk disesuaikan dengan proses reformasi dilaksanakan kementerian.

“Pada Jumaat lepas, kerajaan juga bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia bertujuan memperkukuhkan aspek kawal selia dan penguatkuasaan ekosistem agromakanan termasuk dalam industri padi dan beras,” katanya.

Menyentuh mengenai kebajikan 230,119 pesawah yang menjadi tulang belakang kepada pengeluaran padi negara, Mohamad berkata kerajaan sentiasa prihatin dengan golongan itu yang berdepan pelbagai cabaran seperti peningkatan kos pengeluaran, ancaman perubahan iklim, serangan serangga perosak, penyakit, kekurangan bekalan beras putih tempatan serta kelemahan infrastruktur pengairan.

“Secara umumnya, bantuan subsidi input yang diberikan kepada pesawah di negara kita adalah yang terbesar berbanding negara ASEAN lain,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media di Parlimen, Mohamad berkata pengumuman penyelarasan harga lantai belian padi itu dilakukan selepas mengambil kira kepentingan semua pihak melibatkan pesawah, pengilang dan pengguna.

“Kita tidak boleh naikkan terus hingga RM1,800 (yang diminta pesawah), macam mana pula dengan harga beras, sekarang pun kerajaan terpaksa campur tangan (tampung subsidi), sebab itu keputusan ini diambil imbangi kepentingan semua.

“Bagaimanapun, ini untuk tempoh enam bulan dari sekarang, ada proses lagi untuk kita lihat bagi enam bulan yang seterusnya. Kita terbuka terima pandangan dan sedia bertemu mana-mana pihak berkaitan perkara ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan