AM

Impak Jatuh Terhadap Kesihatan Warga Emas

14/02/2025 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Insiden terjatuh dalam kalangan warga emas sering kali diabaikan dan menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia dianggarkan 684,000 kematian akibat jatuh berlaku di seluruh dunia setiap tahun.

Ini menjadikan ia sebagai punca kedua utama kematian selepas kemalangan jalan raya.

Warga emas berusia lebih 60 tahun menyumbang kepada jumlah kematian yang tertinggi akibat terjatuh sekali gus menggariskan kepentingan kesedaran untuk mencegah golongan ini daripada mengalami insiden berkenaan. 

Perunding Geriatrik di Pusat Perubatan Sunway Bandar Sunway (SMC) Dr Edward Chong Kah Chun berkata kesihatan dan kekuatan fizikal yang merosot adalah penyebab utama kerana penuaan sering menyebabkan kelemahan otot, kehilangan deria, dan penyakit seperti demensia, gout, artritis dan diabetes.

“Secara kolektif, faktor-faktor intrinsik ini meningkatkan kemungkinan seseorang untuk jatuh. Faktor-faktor ekstrinsik seperti persekitaran yang berbahaya juga memainkan peranan penting. Di rumah serta ruang awam, contohnya lantai licin, pencahayaan yang lemah, dan permukaan tidak rata, boleh meningkatkan risiko jatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Edward berkata beberapa jenis ubat yang biasa diberikan kepada warga emas juga boleh meningkatkan risiko terjatuh.

“Sebagai contoh, ubat antihipertensi yang digunakan untuk mengawal tekanan darah boleh menyebabkan pening atau ketidakseimbangan jika tekanan darah turun terlalu rendah. Penglihatan dan pendengaran terjejas yang lazim berlaku apabila usia meningkat menyukarkan lagi mobiliti dan menjejaskan keselamatan. 

Beliau berkata kecederaan fizikal seperti patah tulang atau trauma kepala sering memerlukan rawatan perubatan segera.

“Namun, ia bukan sahaja memberi kesan kepada kerosakan fizikal sahaja bahkan menjejaskan emosi dan psikologi. Takut jatuh (fear of falling - FOF) boleh menyebabkan warga emas kurang bergerak, lantas menyebabkan otot menjadi lemah dan keseimbangan berkurangan sekali gus meningkatkan lagi risiko untuk jatuh,” katanya.

Beliau berkata lazimnya mereka akan mengalami kecederaan dan keadaan itu mungkin akan menjadi lebih teruk apabila usia bertambah dan lebih separuh daripada jumlah insiden terjatuh mengakibatkan kecederaan ringan seperti lebam, terseliuh ligamen atau ketegangan otot.

"Kecederaan yang lebih serius termasuklah patah tulang, ligamen terkoyak, luka yang dalam, dan kerosakan organ seperti buah pinggang atau hati. Jika tidak dirawat segera ia boleh menyebabkan komplikasi lanjutan seperti dehidrasi, kesakitan yang menekan, pendarahan dalaman atau jangkitan yang boleh berlarutan menjadi lebih serius," katanya.

Dalam kes yang lebih teruk, terjatuh boleh meningkatkan risiko kematian dan ini menunjukkan pentingnya intervensi perubatan dengan pantas.

Bagi mengurangkan risiko, Dr Edward menggariskan beberapa strategi yang berkesan, termasuk memeriksa ubat dengan kerap boleh membantu mengurangkan kesan sampingan seperti pening atau ketidakseimbangan,

“Memastikan persekitaran rumah lebih selamat dengan membuat perubahan kecil yang boleh mengurangkan bahaya seperti mengalih permaidani, meningkatkan pencahayaan, dan memasang palang pegang di kawasan utama seperti bilik mandi,” katanya.

Dr Edward juga menekankan kepentingan pemilihan kasut yang sesuai bagi warga emas.

"Memakai kasut yang sesuai seperti kasut bertutup dengan tapak tidak licin, memberikan kestabilan lebih baik berbanding selipar sekali gus membantu daripada jatuh," katanya.

Beliau turut mengesyorkan warga emas untuk melakukan senaman secara berkala untuk memnambah kekuatan dan keseimbangan selain meningkatkan kestabilan dan keyakinan diri.

"Warga emas digalakkan melakukan senaman seperti Tai Chi, Qigong, Yoga, dan Senaman Duduk-Berdiri, yang boleh membantu menguatkan kestabilan fizikal dan meningkatkan keyakinan serta menambah kekuatan dan keseimbangan," katanya.

Warga emas juga dinasihatkan untuk mengamalkan diet yang sihat untuk membantu menguatkan otot

“Jika keadaan kesihatan membenarkan, warga emas dinasihatkan mengamalkan diet berprotein tinggi dengan melebihkan protein dan serat. Ini penting kerana semua orang akan kehilangan jisim otot apabila usia semakin meningkat iaitu kira-kira tiga hingga lima peratus bagi setiap dekad selepas berusia 30 tahun. Mereka yang tidak aktif akan kehilangan jisim otot dengan lebih banyak,” katanya.

Di Pusat Perubatan Sunway, Dr Edward berkata Pusat Kecemerlangan Geriatrik menyediakan “Program Perkhidmatan Sokongan Kepatahan” untuk individu berusia 55 tahun ke atas dengan diagnosis dan rawatan  patah kerapuhan untuk mengelakkan kecederaan pada masa hadapan.

“Program itu melibatkan pasukan pelbagai disiplin yang merangkumi pakar geriatrik, pakar bedah ortopedik, pakar perubatan kecemasan, ahli fisioterapi, ahli farmasi, pakar pemakanan, pakar dietetik, dan ahli terapi cara kerja untuk menyediakan penjagaan komprehensif kepada warga emas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan