KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yakin dengan kepimpinan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub untuk membawa perubahan positif kepada pasukan negara.
Hannah berkata Mohd Joehari bersama seluruh jawatankuasa baharu mampu meningkatkan prestasi pasukan Harimau Malaya, termasuk Malayan Tigress dan Harimau Muda sehingga peringkat akar umbi.
“Saya yakin Datuk Joe (Mohd Joehari) akan meneruskan kerja yang telah dimulakan oleh Tan Sri Hamidin Mohd Amin untuk menaikkan ranking pasukan Harimau Malaya. Kita mahu semua menunjukkan peningkatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konsert Muzik Orkestra Remaja Kuala Lumpur x Rakan Muda di sini, hari ini.
Mohd Joehari diumumkan sebagai Presiden FAM yang baharu hari ini bagi menggantikan Hamidin yang tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 2018.
Dalam pada itu, Hannah berkata pihaknya juga memberi sokongan kepada FAM untuk bekerjasama dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
“FAM dan Kementerian Belia dan Sukan merupakan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi untuk program NFDP. Kita juga telah meminta bantuan AFC untuk membuat penilaian bagi menilai keberkesanan program sedia ada supaya kita boleh melakukan penambahbaikan.
“FIFA juga banyak membantu FAM dan saya rasa ini adalah masa yang sesuai untuk kita bekerjasama dan tidak membiarkan FAM bekerja sendiri. Suka atau tidak, bola sepak merupakan sukan paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Bercakap mengenai program hari ini, Hannah berkata pihaknya bercadang untuk mengetengahkan kumpulan Orkestra Remaja Kuala Lumpur x Rakan Muda bagi mempersembahkan bakat masing-masing sempena Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.
“Kita (KBS) akan mencari jalan untuk menampilkan orkestra ini, dan saya percaya negara-negara serantau pasti ingin melihat bakat muda yang kita ada,” katanya.
Konsert Muzik Orkestra Remaja Kuala Lumpur x Rakan Muda merupakan antara program di bawah Rakan Muzik, iaitu salah satu daripada 10 Gaya Hidup Rakan Muda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial