AM

Tiada Kompromi Sewa, Jual Tapak Bazar Ramadan Pada Warga Asing - Exco Perak

21/02/2025 03:31 PM

IPOH, 21 Feb (Bernama) -- Kerajaan Perak akan bertindak tegas termasuk membatalkan lesen dan menyenaraihitamkan mana-mana peniaga tempatan yang didapati menyewa atau menjual tapak jualan bazar Ramadan kepada peniaga warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran syarat lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bukan sahaja tidak dibenarkan berniaga di bazar Ramadan, kita juga tidak membenarkan khidmat warga asing digunakan sebagai pekerja.

"Saya berharap peniaga yang telah mendapat tapak supaya tidak menyalahgunakan lesen dan mematuhi peraturan ditetapkan," katanya pada sidang media selepas meninjau ke beberapa hotel yang telah mengenakan Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) di bawah Enakmen Hotel Perak 2023 di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa kerajaan negeri termasuk Kedah, Kelantan serta Negeri Sembilan akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan tapak jualan di bazar Ramadan tidak dikendalikan oleh pekerja atau peniaga warga asing.

Dalam perkembangan berasingan, Sandrea berkata kerajaan negeri menyasarkan pendaftaran 1,000 premis penginapan pelancong di bawah Enakmen Hotel Perak 2023 sepanjang tempoh pemutihan pelaksanaan Lesen Hotel selama setahun hingga 30 Jun 2025.

Beliau berkata tempoh pemutihan itu sebahagian daripada usaha meningkatkan pemahaman dan kelancaran pelaksanaan enakmen berkenaan dengan semua PBT giat mengadakan sesi libat urus awam bersama pemilik premis penginapan atau pengusaha hotel.

"Mengikut Enakmen Hotel Perak 2023, tiada pihak yang dibenarkan mengendalikan hotel tanpa lesen sah daripada pihak berkuasa melesen dan pendirian kerajaan negeri adalah jelas bahawa setiap pengusaha wajib berdaftar dan penguatkuasaan akan dilaksanakan PBT selepas tamat tempoh pemutihan.

"Oleh itu, mana-mana pengusaha yang masih mempertimbangkan pendaftaran lesen di bawah enakmen ini disaran segera merujuk kepada PBT masing-masing," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Perak akan melaksanakan Lesen Hotel di bawah enakmen berkenaan bermula 1 Julai ini yang menghendaki setiap pengusaha hotel, rumah rehat, chalet, inap desa, rumah bot dan sebagainya mendapatkan lesen berkenaan melalui PBT sebelum mengenakan CPT kepada pelancong.

Kerajaan negeri bagaimanapun bersetuju untuk memberikan tempoh pemutihan selama setahun sehingga 30 Jun 2025 bagi memberikan tempoh yang mencukupi untuk sesi libat urus dan pendidikan kepada kumpulan sasar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan