JENAYAH & MAHKAMAH

Pengurusan Masjid, Surau Perlu Tingkatkan Kawalan Keselamatan - Mohd Na'im

21/02/2025 08:28 PM

PUTRAJAYA, 21 Feb (Bernama) -- Pengurusan masjid dan surau perlu mempertingkatkan kawalan keselamatan di institusi masing-masing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata insiden kanak-kanak perempuan dipercayai dicabul ketika berada di dalam sebuah masjid di Selangor adalah satu perkara yang perlu diambil iktibar oleh semua pihak.

"Saya berharap sekiranya suspek terbukti terlibat dengan perbuatan tersebut, maka tindakan tegas perlu diambil pihak berkuasa sebagai pengajaran kepada semua,"  katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na'im berkata tindakan Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah memanjangkan laporan kejadian kepada Ketua Polis Selangor adalah tepat agar siasatan segera dapat dijalankan.

"Semua pihak diseru agar bertenang dan menyerahkan perkara ini kepada tindakan pihak berkuasa," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa video memaparkan seorang lelaki menyelinap masuk ke bahagian ruangan solat wanita di sebuah masjid di Batang Kali, Selangor sebelum memeluk seorang kanak-kanak perempuan dan membawanya keluar dari ruangan berkenaan.

Lelaki tersebut kemudiannya melarikan diri selepas mangsa melawan perbuatan itu.

Susulan itu, polis menahan remaja lelaki berusia 19 tahun setelah menerima laporan berkaitan video yang tular di media sosial pada 8.19 pagi tadi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap kanak-Kanak 2017 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu esok untuk permohonan reman.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan