AM

ADUN Ayer Kuning Ishsam Shahruddin Meninggal Dunia Selepas Main Bola Sepak

22/02/2025 09:11 PM

GEORGE TOWN, 22 Feb (Bernama) --  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Ishsam Shahruddin, 59, meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri selepas perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata Ishsam rebah semasa bersalaman dengan pemain lain di tepi padang pada Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di stadium itu.

“Beliau telah dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 5.40 petang selepas bantuan kecemasan diberikan di tepi padang.

"Yang Berhormat telah disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan HPP pada 6.28 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rozak berkata mayat Ishsam dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HPP untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Difahamkan Ishsam yang lahir pada 31 Ogos 1966 merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Perak sekitar 80-an dan 90-an.

Allahyarham merupakan calon UMNO bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N48 Ayer Kuning pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Tapah telah memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan