AM

Kedudukan Malaysia Dalam Indeks Tadbir Urus Global Dipertingkatkan Dengan Komitmen Bersama

24/02/2025 07:53 PM

PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Kedudukan Malaysia dalam indeks tadbir urus global akan dipertingkatkan dengan dedikasi berterusan dan komitmen bersama untuk tadbir urus yang kukuh.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata merealisasikan aspirasi tabdir urus negara memerlukan usaha bersepadu daripada semua pihak berkepentingan termasuk entiti kerajaan, sektor swasta, badan pengawal selia dan masyarakat umum.

"Komitmen kami terhadap tadbir urus baik dan usaha memerangi rasuah melangkaui sempadan negara. Kementerian dan agensi yang bekerjasama dengan rakan antarabangsa memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan mengukuhkan komitmen kita terhadap nilai-nilai ini di pentas global.

"Dengan memperkasakan kerjasama antarabangsa, kita dapat berkongsi amalan terbaik, belajar daripada negara lain dan mengambil pendirian bersama dalam membanteras rasuah, memastikan usaha kita selaras dengan piawaian dan jangkaan global," katanya dalam rakaman ucapan pada penutup Persidangan Tadbir Urus Baik (GGC) 2025 di sini hari ini.

Shamsul Azri berkata tadbir urus yang berkesan dan usaha memerangi rasuah juga memerlukan penguatkuasaan rentas sempadan yang kukuh dan berkoordinasi.

Beliau berkata melalui kerjasama antarabangsa yang strategik, kerajaan dapat memperkukuh mekanisme penguatkuasaan dan membina gabungan global dalam menangani cabaran rentas negara.

Shamsul Azri berkata adalah penting untuk melibatkan pihak berkepentingan dan rakan masyarakat sivil secara lebih rapat untuk memastikan dasar yang lebih inklusif.

"Dengan melibatkan komuniti dan pihak berkepentingan pada setiap peringkat, kita dapat merangka dasar yang mencerminkan keperluan dan aspirasi rakyat, memastikan tiada yang tercicir dalam proses tadbir urus," katanya.

Mengulas mengenai dapatan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia 2024, Shamsul Azri berkata ia bukti bahawa negara terus menghadapi cabaran besar dalam memperkukuh integriti dan ketelusan dalam sektor awam dan swasta.

"Bagaimanapun, cabaran ini tidak harus dianggap sebagai halangan, tetapi sebagai pemangkin kepada perubahan lebih bermakna," katanya.

Melalui matlamat meletakkan Malaysia pada kedudukan 25 teratas dalam CPI global, Shamsul Azri berkata Pasukan Petugas Khas CPI, yang dipengerusikan beliau, diberi mandat untuk meneroka penyelesaian strategik serta mengemukakan cadangan dan strategi kepada kerajaan dalam aspek institusi, dasar dan perundangan bagi meningkatkan prestasi CPI Malaysia dalam tempoh 10 tahun.

"Dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas CPI pada Oktober 2024, kita berusaha merangka dan melaksanakan strategi berimpak tinggi yang dapat meningkatkan prestasi CPI negara pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata terdapat tiga Dimensi Strategik dalam Pelan Hala Tuju CPI Malaysia, iaitu akauntabiliti bersama, institusi kukuh dan berkesan serta kolaborasi strategik.

Mengenai GGC 2025, Shamsul Azri berkata perbincangan sepanjang persidangan ini memberikan pandangan bernilai, menawarkan perspektif baharu dan pendekatan inovatif untuk memperkukuh tadbir urus negara.

Persidangan itu turut berfungsi sebagai platform penting bagi perbincangan mendalam melalui sesi libat urus panel yang menampilkan pakar terkemuka.

Persidangan itu dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan tema Advancing Country’s Image Through Governance Reforms: Policy-Performance-People.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan