AM

Nelayan Di Pahang Terus Dapat Perhatian, Bantuan Perdana Menteri

28/02/2025 11:26 AM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Golongan nelayan di Pahang terus mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terbaru, seorang warga emas yang terjejas pendapatan kerana sudah berbulan-bulan tidak dapat mengail rezeki akibat keadaan laut bergelora, diberikan bantuan.

Menerusi hantaran di Facebook Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi  yang dikongsi Anwar, seorang nelayan Mohammad Kasim, 61, menerima sumbangan wang tunai yang disampaikan oleh Ahmad Farhan di rumahnya di Kampung Baru Cherating, Kuantan baru-baru ini.

“Laut yang dulu menjadi punca rezekinya kini seakan menutup peluang, menyebabkan pendapatannya merosot teruk.

“Namun saya hadir untuk cuba membawa sinar harapan. Dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pahang, rumahnya akan dibaik pulih agar lebih selesa buat hidup bersama keluarga tercinta,” menurut Ahmad Farhan dalam hantaran di Facebook itu.

Beliau berkata bantuan tersebut diharapkan akan menjadi pemangkin untuk warga emas itu dan keluarganya terus bangkit.

Semalam Ahmad Farhan turut dilaporkan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada nelayan Supian Saman, 39, di Kampung Darat Sungai Ular, Cherating, ketika mengunjungi rumahnya bersempena dengan Ziarah MADANI.

Ahmad Farhan memaklumkan pihaknya dengan kerjasama ICU Pahang akan membantu membaik pulih rumah Supian yang serba daif dengan dinding semakin rapuh, malah bumbung juga seolah-olah tidak mampu menahan hujan lebat supaya lebih selesa dan selamat untuk didiami.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan