POLITIK

Anwar Hargai Dukungan Parti Dalam Kerajaan Perpaduan, Tidak Layan Cubaan Rosak Kerukunan

01/03/2025 01:05 AM

SHAH ALAM 28 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi penghargaan beliau kepada kepimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan yang terus kukuh mempertahankan kestabilan kerajaan.

Presiden PKR itu berkata kepimpinan parti terutamanya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO menunjukkan komitmen tinggi dengan tidak melayan sebarang cubaan merosakkan kestabilan kerajaan sedia ada.

“Kita harus hargai sokongan rakan-rakan kita terutamanya UMNO diterajui Ahmad Zahid serta GPS dan GRS yang langsung tidak melayan segala cubaan merosakkan kerukunan yang ada.

“Apa (cabaran) yang diharungi rakan-rakan kita khususnya UMNO jauh lebih rumit, mereka lalui episod yang amat pedih dengan kekalahan (dalam pilihan raya) dan pengkhianatan yang jauh lebih besar dan mencabar daripada yang kita lalui,” katanya.

Justeru Anwar dalam ucapannya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, Wanita, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor di sini malam ini mahu setiap ahli dan kepimpinan PKR menghargai kerjasama, semangat dan muafakat yang ditunjukkan kepimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya UMNO.

Dalam pada itu, Anwar dalam ucapan beliau turut menjunjung kasih titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya semua pihak menghormati proses undang-undang membabitkan Titah Adendum. 

Beliau berkata titah Sultan Pahang itu sekali gus mematikan usaha sesetengah pihak yang cuba menunggang isu Titah Adendum.

Semalam, Al-Sultan Abdullah yang berangkat ke Program Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri di Kuantan menitahkan agar semua pihak tidak berterusan membahaskan soal Titah Adendum kerana perkara itu sudah berada di bawah proses undang-undang.

Mengenai pemilihan PKR yang dijangka berlangsung Mei depan, Anwar berkata pimpinan bagi setiap Cabang PKR tidak harus didominasi oleh kaum tertentu selaras dengan asas parti berkenaan yang mementingkan inklusiviti dalam pentadbirannya. 

"Saya minta rakan-rakan di semua peringkat harus faham, pastikan penyertaan semua (kaum), ada cabang mungkin 20 peratus Cina dan 10 peratus India tapi ada juga cabang yang langsung tiada Cina atau India.

"Jadi ini harus difikirkan dalam pemilihan supaya ia tak lari dengan semangat Perlembagaan," kata beliau.

Anwar pada masa sama turut menyeru calon yang bakal bertanding bagi jawatan tertentu untuk tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan jawatan yang diperoleh dalam kerajaan malah menggunakan kekuatan, prinsip dan kapasiti tersendiri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan