EKONOMI

Tous Les Jours, Stream Empire Akan Buka Lima Cawangan Di Malaysia Tahun Ini

08/01/2025 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Tous les Jours, jenama utama syarikat makanan terkemuka di Korea Selatan, CJ Foodville, merancang untuk membuka lima cawangan di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Stream Empire Holdings Sdn Bhd, pemegang francais utama jenama itu di Malaysia berkata rangkaian kafe kedai roti artisanal itu akan menumpukan kepada penubuhan cawangan baharu tahun ini terutamanya di Kuala Lumpur.

Pengurus Besar Stream Empire Ho Soo Ling berkata cawangan pertama akan dibuka di Sunway Pyramid Mall menjelang suku kedua tahun ini dan cawangan kedua adalah di Sunway Velocity Mall.

"Cawangan ketiga hampir dimuktamadkan dan kami sedang mencari lokasi untuk yang keempat dan kelima, ia masih dalam rundingan," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Perjanjian Induk Francais di sini hari ini.

Bagi prospek segmen makanan dan minuman di Malaysia, Ho menjangkakan segmen itu akan berkembang kerana rakyat Malaysia sanggup membelanjakan wang mereka untuk makanan. 

Beliau berkata syarikat itu telah menjalankan banyak tinjauan dan percaya segmen itu terutamanya kafe bakeri artisanal adalah trend dalam kalangan golongan muda.

Sementara itu, Ketua Wilayah Asia Tenggara CJ Foodville Jeong Soo Won berkata selepas mengukuhkan kehadirannya di ASEAN seperti Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Singapura, syarikat itu melihat Malaysia sebagai anggota negara ASEAN seterusnya untuk pengembangan perniagaan.

“Selain itu, pelanggan Malaysia menikmati gaya hidup yang hampir serupa dengan pelanggan Korea dan saya rasa ia sesuai kerana ia sihat dan sangat bergaya,” katanya.

Jeong berkata ramai rakyat Malaysia dipengaruhi oleh budaya Korea kerana terdapat ramai peminat "hallyu" (gelombang Korea).

“Itulah sebabnya saya memutuskan untuk membawa jenama ini ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata CJ Foodville menyasarkan untuk mendapatkan sijil halal sebelum pembukaan cawangan Tous les Jours yang pertama.

“Di Indonesia, kami telah menerima pensijilan halal selama lima tahun.

“Justeru, menerusi pembukaan Tous les Jours di Malaysia, kami merancang untuk memohonnya (pensijilan halal) sebelum pembukaan kami,” katanya.

Tous les Jours kini mengendalikan lebih 1,300 kedai di Korea dan 550 cawangan global di Amerika Syarikat, Kanada, China, Mongolia dan beberapa negara anggota ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan