AM

TH Perkemas Perkhidmatan, Sedia Urus Jemaah Haji Malaysia Musim Ini

16/04/2025 05:12 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Segala persiapan dari segi logistik bagi perjalanan ibadah 31,600 jemaah haji Malaysia tahun ini telah diselesaikan sejak Ramadan lepas bagi memastikan operasi musim haji 1446H/2025M berjalan dengan baik dan lancar, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia Hisham Harun.

Beliau berkata ia termasuk dari segi penerbangan, penginapan dan pengurusan perkhidmatan lain.

“Persiapan ketika ini sudah hampir 100 peratus, cuma tinggal (pengeluaran) visa yang masih lagi dalam proses dan setakat ini 30 peratus visa telah dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi. 

“Dari segi pengeluaran visa sahaja yang perlu melalui Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta Kementerian Luar Arab Saudi, dan akan diperiksa oleh kedutaan Arab Saudi di Malaysia,” katanya pada sidang media Operasi Haji Bagi Musim Haji 1446H/2025M di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya yakin pengeluaran visa berjalan lancar apabila segala maklumat jemaah haji telah diisi dengan lengkap.

Dalam usaha memastikan kelancaran operasi dan meningkatkan keselesaan jemaah, Hisham berkata beberapa penambahbaikan telah dibuat oleh TH tahun ini termasuk penggunaan teknologi digital serta peningkatan kemudahan di lokasi utama seperti Arafah dan Mina.

Beliau berkata antaranya sistem maklum balas elektronik (e-feedback) yang membolehkan jemaah memberikan komen mengenai perkhidmatan yang disediakan sebaik tiba di Madinah atau Jeddah.

“Sebelum ini maklum balas dibuat secara manual, tetapi kali ini dengan e-feedback, jemaah boleh memberi maklum balas berkaitan perkhidmatan haji secara terus dan kita kumpulkan untuk tambah baik secara real-time, selain petugas kita akan bantu sekiranya terdapat jemaah kurang mahir teknologi,” katanya.

Selain itu Hisham berkata TH turut mencadangkan penambahbaikan fasiliti di kawasan berkepadatan tinggi seperti Arafah dan Mina kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, termasuk pembinaan tandas bertingkat bagi kemudahan jemaah seperti yang telah dilaksanakan tahun lepas.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bagi musim ini dijadualkan pada 29 April, manakala kumpulan terakhir akan berlepas pada 30 Mei.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan