AM

JKNT Sedia 184 Pasukan Perubatan Bertugas Sepanjang MTL

04/12/2024 08:15 PM

KUALA TERENGGANU, 4 Dis (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyediakan 184 pasukan perubatan dan kesihatan bagi menghadapi bencana sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Pengarahnya Datuk Dr Kasemani Embong berkata setiap pasukan terdiri daripada empat hingga lima petugas termasuk pegawai perubatan, jururawat terlatih atau penolong pegawai perubatan, jururawat masyarakat, pegawai farmasi dan pemandu.

Beliau berkata pasukan berkenaan sentiasa dalam keadaan siap siaga dan bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa sekiranya berlaku bencana atau kecemasan sama ada di pusat pemindahan banjir  (PPS) atau lokasi banjir.

"Pasukan perubatan ini kita tidak tempatkan secara statik. Mereka akan bergerak ke PPS untuk buat pemeriksaan apabila ada keperluan.

"Setakat ini JKNT telah menggerakkan 53 pasukan perubatan bagi memberi pelbagai jenis perkhidmatan  termasuk khidmat nasihat kesihatan kepada mangsa banjir di seluruh negeri," katanya selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Menara di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Kasemani berkata setakat ini tiada kes penyakit berjangkit serius yang boleh menyebabkan wabak dikesan di PPS seluruh negeri.

Walau bagaimanapun, beliau tetap mengingatkan orang ramai termasuk penghuni PPS supaya mengamalkan langkah kebersihan dan keselamatan bagi mengelak dijangkiti penyakit  pada musim banjir.

Dalam perkembangan lain, Dr Kasemani memaklumkan 19 fasiliti kesihatan termasuk klinik kesihatan dan hospital terjejas akibat banjir yang melanda bermula November lepas.

"Kesemua fasiliti ini ada yang terputus hubungan dan ada yang dimasuki air. Fasiliti yang dimasuki air ini kita pindahkan perkhidmatan mereka ke tempat lebih selamat.

"Bagi yang terputus hubungan dari awal kita telah pindahkan perkhidmatan ke fasiliti lain yang boleh dihubungi atau diakses penduduk," katanya.

Tambah beliau pihak JKNT juga telah memberi peringatan awal kepada pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis dan wanita sarat mengandung di kawasan berisiko supaya berpindah lebih awal bagi mengelak kejadian tidak diiigini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan