AM

Perlis Harap Tempoh Operasi Pintu Sempadan Padang Besar, Wang Kelian Dilanjutkan

25/12/2024 06:58 PM

PADANG BESAR, 23 Dis (Bernama) -- Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan pelanjutan tempoh operasi pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Kesemalatan (ICQS) Padang Besar dan Wang Kelian.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Hubungan Sempadan Perlis Izizam Ibrahim berkata Kerajaan Negeri Perlis berharap operasi ICQS Padang Besar dilanjutkan kepada 12 tengan malam berbanding 10 malam manakala di ICQS Wang Kelian pula beroperasi hingga 9 malam berbanding 7 malam ketika ini.

“Ini semua bagi peluang ekonomi penduduk setempat yang dapat merancakkan lagi ekonomi mereka sekiranya tempoh operasi ini dilanjutkan lagi dua jam,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan pihak Kementerian Dalam Negeri Thailand di pintu sempadan Wang Kelian-Wang Prachan dekat sini.

Pada masa sama, Izizam meminta pertimbangan Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan pembukaan semula zon aliran bebas di Wang Kelian yang ditutup pada April 2015, bagi menggalakkan kembali aktiviti ekonomi dan pelancongan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata ini kerana Arked Niaga Wang Kelian kini suram tanpa aktiviti perniagaan berikutan peniaga tidak dapat bertahan lama susulan tiada pengunjung datang ke arked niaga itu.

“Di Arked Niaga Wang Kelian ini, bagi sewa kepada peniaga pun tak bertahan lama sebab tak ada sambutan daripada pengunjung, peniaga buka kedai makan pun dalam tempoh tiga bulan, selepas itu terpaksa tutup. 

“Jadinya saya nampak sekiranya free flow ini dibuka semula, orang ramai akan datang ke sini (Wang Kelian). Ia akan menghidupkan semula kawasan ini sekali gus merancakkan semula aktiviti ekonomi penduduk setempat serta aktiviti pelancongan di sini,” katanya.

Sementara itu, Izizam berkata kerajaan negeri yakin kawalan keselamatan di sempadan negara di Perlis juga bertambah baik termasuk kawalan ketat oleh Kastam dan Imigresen.

Untuk rekod, zon aliran bebas ditutup sebagai langkah kawalan pergerakan keluar masuk serta menyekat ancaman dan penyeludupan barangan terlarang susulan penemuan penempatan sementara serta kubur besar yang terdapat mayat mangsa pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma dekat sini.

Beliau turut berharap projek menaik taraf pos kawalan dan pembinaan blok baharu di ICQS Wang Kelian seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 dapat dilaksanakan tahun depan demi meningkatkan keselesaan petugas keselamatan dan pelancong.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan