AM

Gempur Teknikal: Sita, Lucut Hak Kenderaan Perdagangan Gagal Patuhi Peraturan

30/12/2024 09:39 PM

PUTRAJAYA, 26 Dis (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyita dan lucut hak  kenderaan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan kaedah-kaedah di bawahnya menerusi operasi khas ‘Gempur Teknikal’ di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pemilik syarikat atau kenderaan akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 57 Akta 715 atas kesalahan disyaki Melanggar Lesen Pengendali iaitu gagal memberikan keutamaan ke atas pengguna jalan raya yang lain.

“Sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda di bawah seksyen yang sama iaitu denda tidak kurang RM 1,000 dan tidak melebihi RM 500,000. Kenderaan yang terlibat juga boleh disita di bawah Seksyen 80 Akta 715 dan dilucut hak jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi khas itu menumpukan kepada penguatkuasaan kepada kesalahan seperti lebih muatan, teknikal, dokumentasi, lalu lintas serta teknikal pembuatan dan penggunaan kenderaan.

Operasi khas itu dilancarkan JPJ bermula semalam.

JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan kaedah-kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan keselamatan jalan raya.

“JPJ memandang serius trend kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan yang menyebabkan kematian pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Negara baru-baru ini dikejutkan dengan kemalangan ngeri yang meragut tujuh nyawa dalam insiden melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Melaka pada Isnin. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan