AM

MOSTI Buka Permohonan Geran Penyelidikan Perubatan Ranjeet Bhagwan Singh 2025

08/01/2025 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) membuka permohonan Geran Penyelidikan Perubatan Ranjeet Bhagwan Singh (RBS) 2025 kepada penyelidik tempatan berusia 40 tahun dan ke bawah dalam bidang perubatan dan bioperubatan.

MOSTI memaklumkan permohonan geran pembiayaan hingga RM50,000 bagi menyokong inisiatif penyelidikan inovatif itu dibuka hingga 28 Feb ini, dengan seorang penyelidik akan dipilih tahun ini, menerusi proses penilaian oleh MOSTI dan ASM.

"Pemohon yang layak mestilah warganegara Malaysia yang menetap di Malaysia dan mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dan sedang berkhidmat di institusi pengajian tinggi atau institut penyelidikan di dalam negara. 

“Penerima geran perlu melengkapkan penyelidikan dalam tempoh 24 bulan dengan dana yang diberikan akan disalurkan kepada institusi penerima," menurut MOSTI menerusi kenyataan hari ini.

Geran Penyelidikan Perubatan RBS dianugerahkan setiap tahun untuk memperingati legasi perintis dalam penyelidikan perubatan, mendiang Dr Ranjeet Bhagwan Singh dan diberikan menerusi Tabung Amanah Penyelidikan Perubatan RBS yang ditubuhkan melalui wasiat mendiang. 

MOSTI berperanan sebagai pemegang amanah tabung itu bersama ASM selaku agensi pelaksana, dengan geran itu telah menyokong lebih 28 projek penyelidikan dan 11 bengkel teknikal berjumlah lebih RM860,000 sejak 1997. 

"Inisiatif ini memainkan peranan penting dalam menyokong usaha penyelidikan terutamanya dalam bidang onkologi dan penyakit berjangkit," menurut kenyataan itu yang turut memakluman pencapaian penerima geran sebelum ini menjadi pemangkin dalam pelbagai aspek. 

Hal ini termasuk pembangunan vaksin, penyelidikan kanser, pencegahan penyakit dan inisiatif kesihatan awam yang menyumbang kepada kemajuan penyelidikan klinikal negara.

Mereka yang berminat perlu mengemukakan permohonan melalui www.akademisains.gov.my/2025-rbs/ hingga 11.59 malam, 28 Feb ini dan boleh menghubungi sekretariat menerusi e-mel rbs@akademisains.gov.my atau talian 03-62030633 sambungan 131/155 untuk pertanyaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan