AM

PETRA Yakin NEA 2025 Dorong Pemain Industri Kurangkan Jejak Karbon Operasi

10/01/2025 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yakin penganjuran Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2025 bakal bertindak sebagai pencetus serta pendorong pemain industri mengurangkan jejak karbon operasi serta rantaian pembekalan masing-masing.

PETRA menerusi kenyataan hari ini memaklumkan penganjuran NEA 2025 yang memasuki edisi kelima itu antara lain menyediakan peluang dan platform perkongsian amalan terbaik pelaksanaan dalam bidang Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan kecekapan tenaga.

“Pelaksanaan pelbagai inisiatif berteraskan bekalan elektrik hijau sepanjang tahun 2024 ini membuktikan komitmen PETRA dalam menyediakan opsyen kepada pengguna elektrik untuk pengurangan jejak karbon penggunaan elektrik bagi memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Langkah ini diharap akan menyumbang kepada pengurangan intensiti pelepasan karbon sektor bekalan elektrik, selaras dengan komitmen negara di bawah Perjanjian Perubahan Iklim Paris,” kata kenyataan itu.

Penyertaan anugerah itu yang dibuka mulai 19 Nov lepas hingga 19 Feb ini mempelawa pemain industri serta entiti berkelayakan untuk menyertai NEA anjuran PETRA dan Malaysia Green Technology & Climate Change Corporation (MGTC) selaku Sekretariat NEA.

PETRA menyatakan sejak diperkenalkan pada 2018, NEA telah berjaya menarik penyertaan 1,147 pemain industri dan entiti yang berkelayakan dengan 169 pemenang NEA telah dipilih untuk mewakili negara di dalam ASEAN Energy Awards (AEA).

Bersempena kepengerusian Malaysia untuk ASEAN, PETRA berhasrat untuk meneruskan keunggulan wakil negara di dalam Majlis Penyampaian Anugerah AEA Tahun 2025 yang akan diadakan di Kuala Lumpur. 

PETRA turut memaklumkan satu Sesi Libat Urus yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Nasrullah Mohd Nasir telah diadakan bagi mempromosi dan memberi penerangan kepada pemegang taruh, termasuk wakil industri mengenai NEA 2025.

“Penganjuran NEA merupakan sebahagian daripada kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam mempercepatkan peralihan tenaga Malaysia. Usaha sama ini membuka jalan untuk penjimatan kos operasi yang ketara, meningkatkan daya saing global, serta memastikan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.

“PETRA sebagai kementerian peneraju usaha peralihan tenaga sektor bekalan elektrik, terus komited untuk mengurangkan jejak karbon pembekalan elektrik negara dengan meningkatkan campuran TBB kepada 70 peratus menjelang tahun 2050,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan