KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Vietnam Halal Cooperative (COOPHVN) bagi memperluas sektor halal dan memperkukuh hubungan koperasi antara kedua-dua negara.
MoU berkenaan dimeterai pada hari pertama lawatan kerja sempena Program Jelajah ASEAN delegasi ANGKASA, yang diketuai Presiden ANGKASA selaku Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah ke Hanoi, Vietnam bermula semalam hingga 22 Jan.
Abdul Fattah berkata MoU itu bukan sahaja membuka peluang dalam mempromosikan sektor halal koperasi negara, malah mencerminkan komitmen ANGKASA dalam menggerakkan koperasi kariah masjid sebagai pemacu utama pembangunan sosioekonomi.
“Menerusi jalinan kerjasama strategik ini, ANGKASA akan berkongsi pengalaman dan kepakaran mengenai model Koperasi Kariah Masjid serta model koperasi sekolah. Kita juga diminta untuk membantu komuniti Muslim di bandar Ho Chi Minh untuk menubuhkan Koperasi Kariah Masjid.
“Pendekatan ini dijangka mampu memainkan peranan aktif dalam membangunkan koperasi berteraskan nilai-nilai Islam yang sejajar dengan falsafah dan prinsip koperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Fattah berkata inisiatif itu adalah hasil daripada usaha ANGKASA memperkenalkan model Koperasi Kariah Masjid dan Koperasi Sekolah kepada komuniti Muslim di Vietnam serta rantau ASEAN secara keseluruhannya, bertujuan untuk memperkasa ekonomi komuniti Muslim, mempromosikan produk halal dan memperluaskan jaringan perdagangan antara kedua-dua negara.
Susulan daripada Program Pengenalan Koperasi Kariah Masjid bersama kumpulan Halal Vietnam yang diadakan pada 24 hingga 26 Mei tahun lepas, COOPHVN ditubuhkan di Hanoi bagi memperkasa ekonomi komuniti Muslim di bandar Ho Chi Minh.
Sejak tahun 2024, ANGKASA selaku badan puncak gerakan koperasi negara memainkan peranan aktif dalam membimbing pembangunan koperasi halal di Vietnam melalui program latihan, lawatan teknikal dan perkongsian teknologi halal.
Lawatan delegasi ANGKASA ke Vietnam turut menyaksikan pendedahan kepada teknologi penyembelihan halal dan pensijilan, di samping perbincangan strategik dengan komuniti Muslim tempatan.
Selain itu, lawatan kerja sempena anjuran ACO itu menyaksikan perasmian kedai dan restoran halal oleh COOPHVN di Hanoi, yang menawarkan makanan halal berkualiti tinggi dan mengamalkan konsep restoran koperasi oleh masyarakat Muslim tempatan.
Hadir sama pada majlis itu Pengarah Urusan COOPHVN Nai Thanh Hoang Gia, Sekretariat COOPHVN Le Khac Hoang Son, Presiden HANOI XANH COOP Nguyet Thu dan Pengerusi Koperasi Pelancongan Homestay Sedim Kulim Berhad Abdul Mutalib Che Sa.
Turut hadir Pengerusi Koperasi Bersatu Maju Hulu Chuchoh (KOBEMAH) Shafie Waris dan Pemangku Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA Mohd Safian Abdul Rahman.
Delegasi ANGKASA turut dijadual mengadakan lawatan dan perbincangan strategik dengan pihak berkepentingan seperti badan induk koperasi di negara itu, Vietnam Cooperative Alliance (VCA) serta Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Vietnam.
“ANGKASA berhasrat memperluas kerjasama sektor halal koperasi di Vietnam dan rantau ASEAN bagi membuka peluang yang lebih luas untuk produk halal Malaysia ke pasaran ASEAN serta memperkenalkan koperasi halal sebagai model perniagaan yang menguntungkan.
“Kerjasama ini diharapkan dapat menjadi model bagi hubungan serantau yang lebih kukuh, selaras dengan hasrat ANGKASA untuk menjadikan koperasi sebagai sektor utama pembangunan komuniti di peringkat nasional dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial