KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menganjurkan majlis minum petang bagi meraikan Presiden Indonesia Prabowo Subianto di mercu tanda ikonik, Menara Berkembar PETRONAS di sini hari ini.
Dengan pemandangan indah latar langit Kuala Lumpur dari tingkat 40 Menara 1, kedua-dua pemimpin meluangkan masa kira-kira satu jam menjamu selera sambil berbual secara santai.
Selain delegasi Indonesia, majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, serta pegawai kanan kerajaan dan wakil perniagaan dari kedua-dua negara.
Terdahulu, Anwar dan Prabowo mengadakan pertemuan dua hala di sini dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Antara topik dibincangkan ialah pelaburan dan perdagangan, pertahanan, pembangunan kapasiti, kesalinghubungan dan kerjasama dalam ASEAN.
Sebagai jiran rapat yang mempunyai hubungan kukuh dan ahli pengasas ASEAN, lawatan negara ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan strategik demi kemakmuran bersama.
Hubungan itu merentasi pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pertahanan, kesalinghubungan, pendidikan dan sosiobudaya.
Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatat RM106.06 bilion (US$23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (US$22.41 bilion) yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2023.
Pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia pada peringkat global dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM111.21 bilion (US$24.39 bilion).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial