PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Kerajaan akan mengekalkan cadangan kadar caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing, masing-masing dua peratus buat pekerja dan majikan.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kadar tersebut akan dikekalkan sehingga kajian lanjut yang mengambil kira kesesuaian semasa dijalankan pada masa hadapan.
Beliau berkata maklumat lanjut mengenai pelaksanaan caruman mandatori tersebut akan diperincikan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum satu rang undang-undang bagi meminda Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 1991 dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.
Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 18 hari, dengan Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari bermula 4 Feb.
"Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan keadilan dalam pasaran buruh dengan memastikan perlindungan sosial bagi semua pekerja, selaras dengan piawaian antarabangsa seperti ketetapan Artikel 68 Konvensyen 102, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), iaitu hak sama rata perlindungan sosial kepada individu bukan warganegara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan untuk mewajibkan semua pekerja bukan warganegara mencarum kepada KWSP bagi memastikan layanan yang adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan.
Susulan itu, Kementerian Kewangan (MoF) mencadangkan kadar caruman KWSP diseragamkan untuk rakyat Malaysia dan warga asing dengan kontrak pekerjaan baharu. ni bermakna pekerja akan menyumbang 11 peratus manakala majikan menyumbang 12-13 peratus.
MoF turut mencadangkan kadar caruman untuk pekerja asing dan majikan dengan kontrak sedia ada dilaksanakan secara berperingkat bermula pada dua peratus dan meningkat secara berperingkat dalam tempoh enam tahun sehingga ia mencapai kadar caruman KWSP yang dikenakan kepada semua pekerja di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial