AM

PM Anwar Zahir Penghargaan Kepada Presiden Uzbekistan

05/02/2025 02:51 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan negara kepada Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev yang kini dalam rangka lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata lawatan Mirziyoyev akan meningkatkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama antara Malaysia dan Uzbekistan.

“Pagi tadi, saya meraikan Tamu Kenegaraan, Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev yang kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

“Ruang yang ada ini saya rakamkan penghargaan Malaysia kepada Presiden Shavkat atas lawatan rasmi ini dalam meningkatkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama Malaysia-Uzbekistan,” katanya. 

Mirziyoyev tiba di negara ini semalam untuk lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri. Ini adalah lawatan pertama beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden pada Disember 2016 dan merupakan kunjungan balas susulan lawatan Anwar ke Uzbekistan Mei tahun lepas. 

Mirziyoyev yang mengadakan pertemuan dengan Anwar di kediaman rasmi Perdana Menteri tengah hari  tadi diberikan sambutan rasmi dan pemeriksaan pasukan Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

“Melewati latar belakang Masjid Putra usai istiadat, saya dan Presiden Shavkat kemudian menghadiri mesyuarat terhad bersama kedua-dua pimpinan bagi membincangkan isu-isu strategik terkait kepentingan kedua-dua negara, antaranya pelaburan, perdagangan, semikonduktor dan pelancongan,” katanya.

Pada 2024, jumlah perdagangan Malaysia dan Uzbekistan menurun sedikit sebanyak 13.2 peratus kepada RM369.8 juta (US$80.9 juta) berbanding RM426.1 juta (US$94 juta) pada 2023. Imbangan dagangan memihak kepada Malaysia berjumlah RM360.3 juta (US$78.9 juta).

Pada 2024, Uzbekistan kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan