MUAR, 5 Feb (Bernama) -- Penderitaan pasangan suami isteri warga emas yang tidak lagi dapat bergerak sendiri akibat kemalangan dan penyakit yang dihadapi, mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rahmah Nekmah, 67, mengalami patah tulang pinggang selepas terjatuh dari kereta pada September tahun lepas, berhadapan kesukaran untuk menguruskan suaminya, Abu Hamid Jayus, 69, yang terpaksa berkerusi roda apabila kaki kirinya dipotong akibat penyakit diabetes.
Rahmah ketika ditemui semasa Program Ziarah Kasih MADANI berkata sumbangan berbentuk wang tunai RM500 itu amat bermakna buat dia dan suaminya, yang sedikit sebanyak dapat membantu dalam menyediakan kelengkapan kehidupan seharian.
“Terima kasih… itulah saya pun dah patah (tulang pinggang). Macam ni nak kerja, dah tak boleh, nak bergerak, tak boleh sangat la kan. Kita pun bergantung kepada anak-anak sahaja, suami pun dah tak boleh nak bekerja,” katanya.
Sumbangan tunai RM500 dan barangan keperluan asas menerusi program itu disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin yang mewakili Perdana Menteri.
Selain Rahmah, empat lagi penerima dari Parlimen Bakri yang merupakan destinasi keenam Program Ziarah Kasih MADANI menerima sumbangan Ihsan MADANI hari ini, dan antara penerima adalah pesakit terlantar, golongan asnaf dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan akibat kemalangan.
“Pemilihan (penerima) berdasarkan kepada keadaan orang itu dan juga kriteria yang ditetapkan pemimpin kita, antaranya hilang pekerjaan, tak dapat bertugas dan sebagainya,” kata Azman selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata Program Ziarah Kasih MADANI akan diperluaskan di seluruh negara dengan Sarawak menjadi destinasi seterusnya minggu hadapan bagi menyantuni penduduk terjejas banjir.
Selain Rahmah, turut memanjatkan kesyukuran dengan sumbangan yang tidak memilih kasih itu ialah S. Velayutham, 50, yang mengalami kecederaan patah tangan, rusuk dan bahu kanannya akibat kemalangan.
“Saya rasa gembira la Datuk Seri (Anwar Ibrahim) beri sumbangan ini yang dapat membantu meringankan beban dalam masa saya sangat memerlukan,” katanya.
Wellson Saibin, 18, iaitu anak kepada Jenifer Jeffry, 37, yang terlantar selepas hempedunya pecah berkata sumbangan berkenaan sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan keluarga yang kini bergantung kepada pendapatannya sebagai buruh kasar.
“Sekarang pun kerja sangat kurang sebab perayaan Tahun Baharu Cina dan dapat bantuan macam ini dapatlah tampung sikit sementara tidak ada kerja ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial