SHAH ALAM, 8 Feb (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tegas untuk tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam khususnya di negeri itu.
Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Baginda mengingatkan bahawa sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyatnya menganuti pelbagai agama dan kepercayaan, toleransi dalam beragama seharusnya tidak dikompromi.
Sultan Sharafuddin yang juga ketua agama Islam di Selangor berpandangan cadangan garis panduan itu dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian iaitu ketika rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.
“Islam menerusi Al-Quran dan Sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dan diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di Malaysia.
“Justeru isu terpesongnya akidah umat Islam susulan amalan berkenaan tidak timbul kerana Baginda percaya umat Islam kini tahu tentang batas-batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan,” menurut hantaran itu.
Baginda bertitah polemik yang tercetus itu telah sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan ia pastinya akan menjejaskan keharmonian yang telah sedia terjalin.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas meninjau situasi di kuil Batu Caves menjelang Thaipusam Selasa ini berkata, jemaah menteri dalam mesyuarat Kabinet pada sebelah pagi telah memutuskan tiada keperluan untuk mewujudkan garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain.
Sementara itu Sultan Sharafuddin turut menasihatkan umat Islam khususnya di Selangor agar sentiasa berusaha untuk terus memperkukuh akidah dan iman masing-masing dengan mendalami ilmu agama serta melakukan segala suruhan Allah SWT serta meninggalkan segala laranganNya.
“Apabila setiap umat Islam mencapai tahap akidah yang teguh dan kesempurnaan iman hakiki serta memantapkan keyakinan kepada Allah SWT, maka kita semua tidak akan mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir-anasir luar,” titah Baginda.
Baginda dalam masa sama mengingatkan setiap rakyat supaya menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial