KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua kementerian serta agensi yang terlibat untuk memperhalus kelulusan projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kerajaan melalui pendekatan enterprise architecture (EA) secara holistik.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ia perlu mengambil kira kolaboratif merentas agensi, perkongsian infrastruktur, data, maklumat dan perkhidmatan selaras dengan hasrat kerajaan dalam perbelanjaan berhemah.
"Saya tegaskan kepada kementerian dan agensi terlibat agar mematuhi jadual pelaksanaan yang ditetapkan bagi memastikan hasil inisiatif tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat," kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata perkara itu telah dimaklumkan selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) dengan pembentangan kemajuan pelaporan terkini berkaitan agenda transformasi negara yang menunjukkan perkembangan positif.
Beliau berkata laporan itu antaranya termasuklah perkhidmatan Wi-Fi di Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis yang telah selesai dinaik taraf serta penambahbaikan yang akan diperluas kepada 13 institusi pengajian tinggi awam, 24 institusi pendidikan politeknik dan 43 kolej komuniti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial