POLITIK

Abdul Karim Gagal Pertahan Jawatan Naib Presiden PBB, Ibrahim Baki Raih Undi Tertinggi  

16/02/2025 04:24 PM

KUCHING, 16 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah gagal mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden sayap Bumiputera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada pemilihan semalam.

Berdasarkan keputusan yang diumumkan Pengerusi Pemilihan Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah pada Perhimpunan Agung Ke-16 PBB hari ini, Abdul Karim yang merupakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak meraih 669 undi, sekali gus meletakkan beliau di tempat ke lima dari enam calon bertanding.

Hanya empat calon yang mempunyai jumlah undian tertinggi akan memenangi jawatan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok Datuk Ibrahim Baki yang merupakan pencabar baharu bagi jawatan tersebut meraih undi terbanyak dengan 910 undi diikuti Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi yang berjaya mempertahankan jawatannya dengan 900 undi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee juga berjaya mempertahankan jawatannya apabila meraih 788 undi.

Seorang lagi pencabar baharu untuk jawatan itu iaitu Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, turut menang jawatan tersebut dengan 687 undi.

Selain itu Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Abdul Rahman Junaidi juga gagal mempertahankan jawatan apabila meraih 546 undi.

PBB terbahagi kepada dua sayap iaitu sayap Bumiputera yang terdiri daripada Melayu/Melanau manakala sayap Pesaka terdiri kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Lebih 4,000 perwakilan menghadiri perhimpunan agung itu yang berlangsung dari 14 hingga 16 Feb ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan